LAMAN kawasan PPR atau Projek Perumahan Rakyat sememangnya tidak sepi daripada pelbagai masalah termasuk isu pembuangan sampah, ruang letak kereta yang tidak mencukupi dan gejala sosial termasuk dadah.
Stigma masyarakat atau pandangan serong segelintir pihak terhadap kawasan kediaman ini sedikit sebanyak menimbulkan tekanan dalam kalangan penghuninya.
Keadaan ini membuatkan penghuni PPR Seri Semarak mengambil inisiatif untuk menaikkan imej persekitaran kediaman mereka.
Usaha itu juga bukan sahaja mampu menukar tanggapan negatif masyarakat tetapi meningkatkan hubungan kejiranan sesama penduduk dan mampu mewujudkan suasana kehidupan yang harmoni.
Inisiatif yang sudah tentunya boleh diteladani ini ialah melakukan kegiatan bercucuk tanam di sekitar kawasan perumahan yang dimulakan sejak dua tahun lepas.
Setakat ini, seramai 120 penghuni PPR Seri Semarak terlibat dalam kegiatan berkebun ini, dengan mengusahakan tanah seluas sekitar 900 kaki persegi dengan menanam sayur-sayuran, herba serta ulam-ulaman.
Kebun yang mereka namakan Laman Agro ini menjadi aktiviti riadah yang cukup bermanfaat terutama kepada kaum ibu yang menjadi penggerak utama. Ia juga adalah inisiatif Local Agenda 21 Kuala Lumpur (LA21KL), satu program di bawah kelolaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Untuk projek ini, penghuni PPR Seri Semarak memperoleh tajaan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan, antara untuk baja, bekas kotak untuk tanaman dan benih tanaman.
BERKUMPUL SETIAP HARI
Setiap pagi dan petang, peserta akan bergilir-gilir memastikan Laman Agro diberi penjagaan sebaik-baiknya. Kira-kira 50 jenis sayur, ulaman dan herba antaranya daun kaduk, serai, daun kunyit, kangkung, cili, tomato, daun pandan ditanam di Laman Agro ini.
Ternyata suasana muafakat yang biasanya hanya dapat dilihat di kampung dapat dihidupkan di kawasan kediaman yang terletak di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur ini.
“Jika sebelum ini ada peserta yang jarang bertegur sapa tetapi setelah melibatkan diri dalam kegiatan berkebun ini, masing-masing boleh berkenalan rapat bukan sahaja dengan peserta blok mereka tetapi di blok lain,“ demikian menurut penyelia Laman Agro, Latifah Mokhtar.
Beliau berkata setiap peserta mempunyai jadual disediakan dan ini membolehkan mereka bergilir-gilir datang ke kebun yang dibuka dari pukul 7.00 pagi hingga 12 tengah hari sementara waktu petang adalah dari pukul 5-7 petang setiap hari.
Sejak dimulakan dua tahun lepas, mereka telah menuai hasil sebanyak tiga kali yang dibahagikan sesama peserta selain turut dijual kepada penduduk setempat.
Peserta turut berkongsi ilmu berkebun yang dipelajari di bengkel di samping mencuba resepi serta menu baru seperti daun kaduk goreng, daun kunyit goreng dan kerabu daripada sayur-sayuran dan ulam-ulaman yang ditanam.
“Setiap hari ada sahaja kegiatan kami di sini sama ada menyiram, menggemburkan tanah, membuat baja kompos atau menyemai benih baru.
“Aktiviti berkebun bukan sahaja banyak membantu kami menjimatkan kos di dapur bahkan menjadikan kami lebih sihat dengan mengeluarkan peluh setiap hari,” kata Latifah yang mendapat kerjasama baik terutama daripada kaum ibu.
Beliau menambah, selain memberikan tunjuk ajar tentang kaedah serta teknik penanaman, pihaknya turut membawa semua peserta ke lawatan tapak di kebun kejiranan PPR Raya Permai (Sungai Besi) yang dijadikan projek contoh.
SEMAI SEMANGAT KERJASAMA
Memandangkan kawasan tanaman yang amat terhad di Laman Agro, kaedah tanaman menggunakan “kotak tanaman” digunakan bagi memudahkan penjagaannya.
Sayuran, herba dan ulaman yang dipilih pula adalah daripada jenis yang mudah disemai dan membesar tanpa memerlukan penjagaan yang khusus.
“Bayangkan, dahulu agak mustahil untuk bercucuk tanam di kawasan PPR tetapi kini menjadi sebahagian daripada aktiviti penduduk. Tinggal di kawasan bandar terutama rumah PPR memang menyukarkan untuk berkebun kerana ketiadaan ruang.
“Nak tanam di koridor luar rumah tidak dibenarkan kerana boleh menghalang laluan dan faktor keselamatan. Apabila diwujudkan Laman Agro di sini sekurang-kurangnya dapat membantu mereka yang minat bercucuk tanam.
“Sedikit sebanyak membantu mengurangkan kos hidup untuk 120 unit rumah yang menyertai kebun ini,” kata Pengerusi PPR Seri Semarak, Mohd Hafizrullah Nakibullah.
Terdapat lima blok di PPR Seri Semarak dengan jumlah penduduk kira-kira 8,000 orang dan setiap blok diwakili tidak kurang 20 peserta untuk menggerakkan Laman Agro secara sukarela.
“Laman Agro ini sangat membantu terutama mengeratkan hubungan silaturrahim penduduk. Blok F, B dan C kedudukan agak jauh sedikit, jadi orang blok B belum tentu kenal orang blok F dan begitu juga sebaliknya.
“Laman Agro salah satu aktiviti yang bukan sahaja membantu ekonomi penduduk tetapi juga membina hubungan kerjasama baik yang sebelum ini agak kurang mesra,” katanya yang mahu menjadikan PPR Seri Semarak sebagai PPR yang boleh dicontohi di Kuala Lumpur.
Walaupun hanya melibatkan kurang lima peratus penduduk tetapi kesan positifnya boleh dilihat dengan wujudnya persekitaran hijau di kawasan ini.
Ruang di sekitar Laman Agro ini menjadi tempat rehat dan rekreasi penduduk sebab ada padang serta ruang pentas yang menjadi wakaf untuk penduduk berkumpul, tambahnya.
Usaha Laman Agro Seri Semarak juga mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan dalam kategori Bandaraya sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia 2017.
KEBUN KOMUNITI DIPERLUASKAN
Kebun kejiranan di Kuala Lumpur dimulakan sejak lima tahun lepas di PPR Raya Permai yang sehingga kini menjadi projek komuniti paling berjaya.
Menurut Pegawai Perancang Bandar, Norazmin Adibah Othman, usaha penduduk yang menukar kawasan terbiar menjadi kebun bandar dijadikan contoh bukan sahaja oleh perumahan PPR lain tetapi juga pihak luar,
Beliau, yang juga ketua unit LA21KL, berkata terdapat perubahan sikap penduduk di perumahan PPR setelah melihat sendiri kejayaan projek kebun kejiranan di PPR Raya Permai dan Seri Semarak hingga menarik minat untuk membuka di tempat masing-masing.
Terdapat 23 tapak dikenal pasti oleh komuniti penduduk termasuk empat daripadanya kawasan PPR untuk pelaksanaan projek kebun kejiranan.
“Mereka membentangkan pelan perancangan mereka dan kami sedang meneliti secara mendalam. Minat yang ditunjukkan oleh penduduk PPR itu membuktikan kesedaran yang semakin tinggi penduduk untuk mengubah lanskap di kawasan perumahan mereka ke arah taman hijau,” katanya.
Sejak 2013 hingga tahun lepas, empat PPR menubuhkan kebun kejiranan mereka.
Selain PPR Raya Permai dan Seri Semarak, kebun kejiranan PPR Intan Baiduri (Kepong) dan PPR Muhibah (Bukit Jalil) juga telah digerakkan.
Pelaksanaan kebun kejiranan bukan sahaja menghijaukan kawasan tanah terbiar tetapi juga berperanan penting membantu mengawal impak karbon iaitu peningkatan suhu akibat pembangunan dan kepadatan penduduk di Kuala Lumpur.
“Ini satu daripada usaha yang bukan sahaja dilihat membantu ekonomi penduduk di kawasan PPR tetapi lebih daripada itu untuk mewujudkan persekitaran yang selesa, selamat dan harmoni.
“Tidak mustahil kawasan PPR akan menjadi satu kawasan yang sihat dan mengubah imej negatif yang ada padanya melalui perubahan sikap masyarakatnya,” katanya.
Ujarnya lagi, bagi mengiktiraf usaha yang digerakkan komuniti, Anugerah Kebun Kejiranan Bandar Kuala Lumpur akan diberi mulai tahun ini. – BERNAMA