SYARIKAT Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) merupakan syarikat terkemuka yang diamanahkan untuk membangunkan dan menyelenggarakan sistem pembetungan moden dan efisyen untuk semua rakyat Malaysia.
Tidak dinafikan, tugas yang dilakukan mereka ini sangat penting bagi memastikan perkhidmatan pembentungan yang efisyen kepada semua pelanggan.
Salah satu masalah besar yang dihadapi syarikat tersebut adalah untuk memastikan pelanggan mereka membayar bil mengikut tempoh yang ditetapkan.
Ramai yang memilih untuk tidak bayar bil kerana tidak nampak secara langsung fungsi dimainkan IWK dan syarikat itu pun tidak mampu membuat tindakan lain selain perundangan atas pelanggan yang ingkar.
Contohnya, kalau tidak bayar bil elektrik, syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) boleh memotong bekalan ke sesuatu premis, tetapi IWK tidak mempu memberhentikan khidmat pembentungan mereka secara individu.
Kekangan dalam mengambil tindakan pantas yang efisyen itu menyebabkan ada pelanggan yang mengambil mudah dan tidak mahu membayar khidmat pembentungan yang disediakan.
Hakikatnya, hanya kesedaran dari pelanggan boleh menjadi motivasi agar bil IWK dijelaskan mengikut jadual.
Mengambil kira hakikat itu, bukankah pelanggan yang dengan rela hati membayar bil IWK sepatutnya dihargai dengan baik?
Namun, sikap sambil lewa yang diambil kakitangan IWK telah menyebabkan sebuah syarikat agensi pelancongan, Five Estec Travel Services Sdn. Bhd. dengan tidak semena-mena dituduh gagal melunaskan bayaran perkhidmatan kepada syarikat itu.
Dengan penuh selambanya IWK menghantar surat peguam kepada agensi syarikat itu pada hal syarikat berkenaan tidak pernah gagal membayar bil pembentungan yang diterima.
Syarikat agensi pelancongan itu telah menerima surat peguam bertarikh 14 Mac 2018 yang meminta mereka membayar tunggakan bil yang berjumlah RM3,899.48 atas perkhidmatan yang telah diberikan IWK.
Surat yang dikeluarkan melalui firma guaman Arifin And Partners itu juga meminta wakil syarikat agensi pelancongan itu untuk menghadirkan diri ke mahkamah pada 3 April 2018 bagi pengurusan kes.
Five Estec dituduh gagal melunaskan bayaran bagi perkhidmatan yang dilakukan oleh IWK pada tahun 2017 dan mengabaikan bil atas kerja-kerja yang dijalankan di unit premis berkenaan.

Bagaimanapun, setelah Five Estec Travel Services membuat semakan, ternyata mereka tidak mempunyai sebarang tunggakan bil yang perlu dibayar kepada syarikat pembetungan itu.
Malah, syarikat itu mempunyai bukti yang menunjukkan mereka baru sahaja melunaskan bayaran bil bulan Februari 2018 pada tanggal 8 Mac yang lalu.

Apabila surat peguam itu diteliti, alamat sebenar unit premis yang tidak membuat pembayaran itu sebenarnya adalah unit berbeza yang terletak bersebelahan syarikat agensi pelancongan itu.
Atas sikap sambil lewa pekerja IWK, syarikat Five Estec Travel Services pula yang terpaksa menghadapi tuduhan sedangkan pihak syarikat itu tidak pernah gagal untuk melunaskan bayaran.
Seperti yang diketahui, terlalu banyak syarikat serta unit kediaman yang tidak buat bayaran kepada IWK tetapi mengapa mereka masih mahu hukum sebuah syarikat yang sentiasa peka dan bayar perkhidmatan mereka?
Dengan tak semena-mena, nama syarikat agensi pelancongan yang tidak ada kaitan dengan isu ini turut terpalit sehingga surat meminta menghadirkan diri ke mahkamah juga dikeluarkan.
Persoalannya, inikah cara IWK menghargai pelanggan yang setia dan jujur dalam membuat pembayaran dengan menghantar surat peguam tanpa sebarang usul periksa?
Perkara ini sebenarnya boleh dielakkan sekiranya pihak IWK tidak cuai dan melakukan tindakan mudah seperti menyemak alamat premis yang ingin diambil tindakan.
Dengan mudahnya mereka mengeluarkan bil baru siap dengan tunggakan kepada syarikat yang membayar perkhidmatan mereka dengan patuh.
Salah unit tetapi siap ada bil dengan nama orang lain.
Mereka tidak sepatutnya mengambil jalan mudah dengan memasukan nama syarikat yang terletak bersebelahan dengan unit yang berkenaan bagi memudahkan urusan mereka sedangkan pihak lain yang terpaksa menanggungnya.
Kes ini bukan sahaja memberikan impak kepada syarikat Five Estec Travel Services, ia juga secara tidak langsung telah menunjukkan gerak kerja yang tidak efisyen oleh sebuah syarikat yang berpengaruh di negara ini. – MYNEWSHUB.CC