BURQIN – Tentera Israel menembak mati seorang remaja Palestin ketika satu serbuan untuk menahan suspek di Tebing Barat, kata pegawai kesihatan Palestin semalam.
Seorang saksi Reuters memaklumkan kira-kira 200 penduduk Palestin membaling batu ke arah beberapa kenderaan tentera Israel apabila bunyi tembakan kedengaran. Seorang mangsa yang cedera kemudian di bawa ke sebuah kereta.
Tentera Israel berkata, pasukannya mencari beberapa suspek di Burqin yang terbabit dalam insiden membabitkan seorang paderi Yahudi yang ditembak dari sebuah kereta yang bergerak di penempatan berhampiran pada 9 Januari lalu.
Jurucakap tentera Zionis berkata, rusuhan berlaku ketika tentera menahan beberapa suspek yang mempunyai kaitan dengan insiden tembakan sebelum ini.
Kementerian Kesihatan Palestin berkata, remaja yang terbunuh semalam berusia 19 tahun sementara hospital di Jenin lokasi beliau dihantar memaklumkan mangsa ditembak di kepala.
Jurucakap tentera Israel berkata, mangsa ditembak selepas memanjat kenderaan tentera dan membuka pintunya. – Reuters/BH ONLINE

