TUMPAT – Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor merampas 199,700 peket rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM2.67 juta termasuk cukai RM2.34 juta di sebuah stor di Kampung Jeram, Pasir Puteh semalam.
Pegawai Pemerintah Markas PPM Wilayah 3 Pengkalan Kubor ASP Ahmad Amri Abdul Rahman berkata turut ditahan dua lelaki tempatan berusia 27 tahun yang sedang memunggah kotak-kotak yang mengandungi rokok putih dan kretek dari stor itu ke sebuah kenderaan pacuan empat roda.
“Rampasan itu dilakukan oleh sepasukan 13 anggota PPM pada pukul 9.30 malam hasil risikan dan maklumat awam,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Ahmad Amri berkata rokok berkenaan dipercayai untuk dipasarkan ke negeri ini.
“Hasil soal siasat terhadap suspek berkenaan, aktiviti penyeludupan tersebut aktif sejak setahun lalu iaitu menggunakan modus operandi membawa masuk rokok-rokok tersebut melalui jalan darat dan sungai,” katanya.
Beliau berkata pihaknya akan meningkatkan lagi risikan bagi membanteras kegiatan penyeludupan di negeri ini. – BERNAMA

