KOTA BHARU – Seorang peniaga cedera ditembak selepas enggan menyerahkan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux miliknya dalam cubaan samun kenderaan di Jalan Sri Cemerlang di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Din Ahmad berkata kejadian itu berlaku pada pukul 1.40 tengah hari ketika mangsa berusia 45 tahun itu tiba di tempat kejadian untuk makan tengah hari di sebuah restoran.
“Ketika kejadian mangsa seorang diri turun dari kenderaan miliknya tiba-tiba datang dua lelaki berusia 20-an menaiki sebuah motosikal menghampiri mangsa dan minta mangsa menyerahkan kunci kenderaan miliknya itu kepada suspek terbabit.
“Mangsa enggan menyerahkan kunci kenderaannya itu menyebabkan salah seorang suspek terbabit mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan satu das tembakan dari jarak dekat mengenai belakang badan sebelah kiri mangsa,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian hari ini.
Beliau berkata selepas ditembak, mangsa sempat melarikan diri dan meminta pertolongan daripada orang awam untuk dihantar ke hospital manakala suspek melarikan diri dengan motosikal.
Din berkata mangsa yang berasal dari Ipoh, Perak dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk menerima rawatan dan dilaporkan stabil.
“Berdasarkan soal siasat terhadap mangsa, motif kejadian ialah samun kenderaan menggunakan senjata api,” katanya.
Berdasarkan modus operandi dan sasaran jenis kenderaan (Hilux) kami percaya mereka (dua suspek) itu dari kumpulan yang sama terlibat dalam jenayah samun kenderaan,” katanya.
Katanya sebuah pasukan khas akan ditubuhkan bagi membanteras kegiatan samun berkenaan. – BERNAMA

