LIPIS – Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu bidang pendidikan agama di negeri ini terus diperkasakan dengan memperbanyakkan lagi sekolah aliran itu.
Tengku Abdullah bertitah ini berikutan ibu bapa pada masa kini dilihat lebih cenderung untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama berbanding sekolah aliran biasa sehingga pihak pentadbir sekolah terpaksa menolak permohonan mereka.
“Setakat ini kita mempunyai sebanyak 22 sekolah menengah agama dan daripada jumlah itu 18 dikendalikan kerajaan negeri, manakala empat lagi dikendalikan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
Sehubungan itu saya berharap suatu hari nanti kerajaan negeri Pahang mahupun Majlis Ugama Islam Pahang mencari jalan untuk menambah bukan sahaja sekolah agama tetapi juga maahad tahfiz di negeri ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika majlis ramah mesra bersama pelajar dan kakitangan Sekolah Menengah Agama Al Maidah Addiniah Padang Tengku di sini hari ini. Turut berangkat Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Anggota Parlimen Lipis Datuk Abdul Rahman Mohamad dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku Datuk Mustapa Long.
Dalam masa yang sama baginda juga mahukan semua infrastruktur, bangunan dan kemudahan pembelajaran di sekolah agama serta maahad tahfiz di negeri ini dapat pertingkatkan kerana sesetengahnya berada dalam keadaan kurang memuaskan.
“Saya berharap dengan bantuan daripada kerajaan negeri dan pusat, masalah di sekolah agama dan maahad tahfiz ini dapat diatasi supaya kaedah pembelajaran di situ juga dapat diperkemaskan.
Saya mahu sekolah agama dan maahad tahfiz yang ada ini mampu menjadi setanding dengan Maahad Tahfiz Pahang di bawah Yayasan Pahang yang kini menjadi antara institusi pendidikan cemerlang di negeri ini dan kita akan usahakan untuk membuka cawangannya di Pahang Barat,” titah baginda.
Pada majlis berkenaan, Tengku Abdullah dan Tunku Azizah turut berkenan menyampaikan sumbangan peribadi dan MUIP kepada 700 pelajar sekolah itu. – BERNAMA

