PETALING JAYA- Tukang urut haram dari Thailand dan China masih menjadi pilihan kebanyakan pusat kecantikan dan urutan tradisional meskipun tahu pengambilan khidmat pendatang asing tanpa izin (PATI) merupakan satu kesalahan undang-undang.
Menyedari perkara ini, dua premis perniagaan di Petaling Jaya yang dipercayai menggunakan khidmat PATI diserbu polis, petang semalam.
Empat wanita warga Thailand yang bekerja sebagai tukang urut yang turut menawarkan khidmat urutan Thai di premis pertama ditahan termasuk seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai penjaga premis.

Dalam serbuan kedua, sebuah premis rawatan kecantikan di lokasi berhampiran turut dikesan mengambil tiga wanita negara China sebagai tukang urut di pusat kecantikan tersebut.
Seorang lelaki penjaga premis tersebut turut ditahan polis dalam serbuan tersebut.

Menurut Pegawai Turus Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Deputi Superintendan Norhizam Bahaman, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan mengurut serta sejumlah wang tunai hasil perniagaan dalam serbuan yang dilakukan.
“Kita dapati kedua-dua premis perniagaan ini menggaji warga asing sebagai pekerja tanpa permit dan pemeriksaan mendapati ada antara mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan sah masuk ke negara ini,” katanya memetik portal HMetro.
Kesemua suspek dibawa ke balai polis berhampiran untuk siasatan mengikut Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 serta Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – MYNEWSHUB.CC/EFFAN
*Video di bawah sekadar hiasan…