TIDAK dapat dinafikan, Nabil Ahmad merupakan antara pengacara yang berkaliber serta popular dalam industri hiburan negara kini.
Seperti yang dapat disaksikan, Nabil kini menjadi salah seorang pengacara yang sering muncul di kaca televisyen dengan mengendalikan beberapa program menarik.
Ketika menjadi pengacara program Gegar Vaganza baru-baru ini, terdapat segelintir netizen yang berpendapat cara pengacaraannya tidak membantu pembangunan negara.
Kata Nabil, dia jelas berasa terkilan dengan pandangan tersebut walaupun ini bukanlah kali pertama dia dikecam netizen.
Malah, Nabil juga sebelum ini pernah berperang mulut bersama Chef Wan ketika mengendalikan program fenomena tersebut.
Jelasnya, pendapat tersebut tidak berasa memandangkan dia mengambil pendekatan yang berbeza bagi setiap rancangan atau program televisyen yang dikendalikannya.
Perkara tersebut kata Nabil akan menyaksikan dia menggunakan cara penyampaian dan jenaka yang berbeza bagi setiap program.
“Setiap program berlainan tahap, mentaliti, cara bercakap dan humor yang ingin disampaikan.
“Saya tidak akan samakan isi dan perbuatan dalam setiap rancangan saya. Takkan dalam rancangan GV saya nak melawak macam budak-budak?
“Lagipun, penonton GV melihat rancangan itu secara santai, tempat untuk relaks dan akan kembali meneruskan kehidupan masing-masing selepas tamat siaran itu,” katanya memetik portal Astro Gempak.
Tambah Nabil, penonton berhak untuk menukar siaran jika merasakan cara pengacaraannya sebagai tidak profesional dan tidak membangunkan negara.
“Apapun, terpulang pada penonton masing-masing untuk memilih rancangan yang dimahukan. Remote di tangan, tak ada siapa paksa tengok,” ujar Nabil sambil berpendapat mereka yang terlalu banyak mengecam ini sebagai tiada kehidupan.
Bagi projek seterusnya, Nabil akan terlibat dengan program Ceria Megastar dimana dia akan bertindak sebagai pengacara program bakat kanak-kanak itu.
Ujar Nabil, pendekatan berbeza akan dibawanya bagi program tersebut, dengan objektif utamanya adalah untuk memikat hati penonton cilik.
“Apabila mengendalikan rancangan kanak-kanak karakter saya pun berubah, tidak seperti dalam GV atau MeleTOP. Bergurau pun untuk buatkan kanak-kanak terhibur,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nabil berkata bahawa dia kini sedang merancang untuk mengarahkan filem pertamanya bergenre seram dan akan berkolaborasi dengan negara jiran.
“Saya tengah rancang untuk arahkan filem seram berjudul Qutil. Ini merupakan percubaan pertama saya dan ia turut melibatkan kolaborasi dengan negara jiran.
Jelas Nabil, senarai pelakon filem tersebut masih belum dimuktamadkan namun sisi teenikal penghasilan sesebuah filem sedang dirangka bagi memastikan kelancaran penggambaran. – MYNEWSHUB.CC/EZ