TUAHNYA menjadi pengacara rancangan Qari Jr. pada tahun 2015 lalu akhirnya membuatkan nama Mira Filzah terus dikenali dalam dunia pengacaraan.

Siapa sangka, selepas beberapa minggu menjadi pengacara bagi program Nona 2018, jumlah tontonan rancangan kewanitaan itu kini telah meningkat sehingga 10 peratus.
“Alhamdulillah, pembabitan Mira sebagai hos Nona diterima baik. Apabila dihulurkan peluang mengacarakan rancangan itu, memang menjadi misi Mira untuk membuatkan penonton terus setia dan melekat di depan televisyen mengikuti program terbabit,” katanya dipetik daripada BH Online.
Bagi Mira atau nama sebenarnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman, 25, dia sendiri tidak menyangka bahawa jumlah tontonan program itu meningkat sejak dia mula menjadi hos pada awal tahun ini.

Dalam masa yang sama, Mira turut berasa terharu serta gembira kerana pembabitannya itu diterima baik oleh penonton sendiri.
“Mira juga tidak mahu penonton di luar sana masih beranggapan, Nona adalah sebuah rancangan untuk wanita dewasa semata-mata. Sebaliknya, ia boleh ditonton oleh semua peringkat usia kerana isi kandungannya luas dan tidak terikat pada satu generasi.
“Malah, bukan setakat golongan wanita, lelaki juga boleh menonton rancangan ini,” tambahnya lagi.
Sebelum ini, Mira pernah menjadi pengacara bagi program lain seperti Mahligai Cinta, ABPBH29, 3 Juara dan Qari Jr. 2015, program yang memperkenalkan Mira kepada dunia hiburan.

“Mira sendiri sebenarnya tidak pernah menyangka dapat menjadi sebahagian daripada sejarah Nona, yang diperkenalkan TV3 sejak 1985.
“Maklum saja, sebelum ini ia pernah diterajui oleh nama besar dalam industri penyiaran seperti Dian P Ramlee, Puan Sri Normala Samsudin, Maya Karin, Nurul Syuhada Nurul Ain, Fiza Sabjahan, Neelofa dan Fara Fauzana.
“Ia memang peluang keemasan buat Mira,” katanya lagi.

Malah, ramai netizen memuji cara pengacaraan gadis manis itu serta ada juga yang dengan jujurnya mengakui bahawa mereka hanya menonton rancangan Nona kerana ingin melihat pengacaranya sahaja.
Kedudukan Mira sebagai pengacara Nona secara langsung telah menggantikan tempat Uyaina Arshad yang kini sudah menjadi pengacara bagi program Wanita Hari Ini.

Mira kini sedang bercuti di Turki bersama dengan ibu dan adik perempuannya sejak 30 Januari yang lalu.
Percutiannya kali ini amat bermakna bagi diri pengacara dan pelakon itu sendiri apabila dia dapat berkunjung ke Cappadocia, Istanbul dan Bursa.
“Pada mulanya, Mira cuma berniat hendak membawa adik bercuti kerana dia baru saja tamat belajar. Begitupun, alang-alang berbuat demikian, Mira merancang mahu membawa mak dan ayah sekali. Namun, ayah pula agak sibuk ketika ini. Sudahnya, hanya kami bertiga yang terbang ke sini,” tambahnya lagi.

Mira juga baru sahaja selesai menjalani pengambaran telemovie Teksi Love pada 13 Januari lalu dan ianya juga sudah ditayangkan pada 27 Januari baru-baru ini. – MYNEWSHUB.CC/AH