KANGAR Kerajaan negeri menyasarkan 15,000 penyertaan pada Maraton Perlis 2018 yang akan berlangsung di bandar Kangar, 5 Mei depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata kategori yang dipertandingkan pada larian itu adalah 42 kilometer (km), 21km, 10km dan lima kilometer ‘Fun Run’ yang dijangka disertai peserta dari dalam dan luar negara.
“Pada tahun lepas, penyertaan dalam Maraton Perlis melebihi sasaran 10,000 kepada 12,500 peserta bagi pelbagai kategori,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Perlis dan Pra Pelancaran Maraton Perlis 2018 di sini, hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri juga berbangga kerana penganjuran Maraton Perlis berada pada ranking kedua di negara ini, selepas Kuala Lumpur Maraton Standard Chartered yang dianjurkan setiap tahun bagi penggiat acara larian itu.
Katanya hadiah yang ditawarkan pada kali ini antaranya wang tunai berjumlah RM250,000, sebuah kereta dan motosikal.
Azlan berkata penyertaan setakat ini sudah melebihi 8,000 peserta dan orang ramai boleh melayari www.racexasia.com untuk keterangan lanjut berhubung acara larian berkenaan. – BERNAMA

