KUCHING – Jabatan Kesihatan Sarawak mengesahkan mangsa ketujuh wabak rabies atau anjing gila meninggal dunia petang semalam.
Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Jamilah Hashim berkata lelaki berusia 59 tahun itu disahkan meninggal dunia kira-kira 4.44 petang semalam di Hospital Umum Sarawak (HUS).
“Penyebab kematian lelaki tersebut adalah rabies encephalitis. Kes dari Jalan Batu Kawa-Matang, Kuching ini mempunyai sejarah digigit anjing pada November tahun lepas dan telah mendapatkan rawatan di HUS pada bulan lepas (24 Jan) apabila mula menunjukkan gejala neurologi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata setakat semalam, jumlah kes rabies dalam kalangan manusia kekal tujuh mangsa; enam telah meninggal dunia dan hanya seorang sahaja selamat.
“Mangsa keenam seorang kanak-kanak tujuh tahun dari Kampung Kuala, Serian telah dibenarkan keluar hospital pada 31 Jan 2018,” katanya sambil menambah tiada kes baharu dilaporkan buat masa ini.
Dr Jamilah berkata sejak 1 Julai tahun lalu hingga semalam, sebanyak 29 lokaliti di lima bahagian di negeri ini iaitu Serian, Samarahan, Sri Aman, Kuching dan Sarikei didapati positif rabies. – BERNAMA