BAGI mereka yang melalui zaman remaja sekitar era 90-an pasti mengenali Loque dan band Butterfingers yang popular ketika itu.
Selepas Butterfingers dibubarkan, Loque bergerak solo dan tidak hanya bergantung kepada satu cabang seni dengan menyaksikan dia berusaha mengubah industri seni negara terutama industri muzik.
Ketika ini, komposer kelahiran Kuala Lumpur itu dilihat banyak menggunakan kepakarannya dalam ruang seni skor filem serta sering menjadi pilihan penerbit filem untuk menyampaikan ilham kreatif muziknya dalam sesebuah filem.
Dengan kepakarannya itu, tidak hairanlah pemuzik lain mencemburui Loque apabila dia kerap dipilih untuk tugas menulis skor muzik filem.
Ujar Loque dia menganggap dirinya bertuah dan bersyukur akan peluang dan rezeki yang tidak putus-putus diterimanya.
“Saya anggap ini semua rezeki anak-anak. Selagi ada orang sudi panggil dan menaruh kepercayaan atas bakat dan muzik ikhlas yang dihasilkan, saya terima sahaja,” katanya memetik sebuah akhbar termpatan.
Jelas Loque, kebanyakan pengarah menyukai hasil karya muzik ciptaannya yang bersahaja untuk diletakkan sebagai runut bunyi dan skor muzik sesebuah filem.

“Berbanding karya yang saya buat dengan tekun dan serius, mereka tak suka. Sebaliknya cenderung memilih muzik yang saya anggap sampah, sekadar contengan dan bersifat cakar ayam.
“Pendek kata, lagi pelik, lagi mereka suka. Memang karya untuk filem berbeza daripada radio dan televisyen dan tak dinafikan, dunia seni kita masih kekurangan pemuzik yang mampu ‘bermain’ dengan baik untuk skor filem,” jelasnya.
Baru-baru ini, Loque memainkan peranan penting dalam filem bergenrekan muzik berjudul Buskers apabila dia bertindak sebagai pengarah muzik filem tersebut dan menulis beberapa lagu untuk dinyanyikan dalam filem yang dilakonkan Hafeez Mikhail dan Daiyan Trisha itu.

Dalam wawancaranya bersama akhbar tersebut, Loque berkata industri muzik masih ketandusan pemuzik yang mampu menghasilkan skor muzik sesebuah filem disebabkan rumitnya perkara tersebut untuk dilakukan selain kos tinggi yang diperlukan untuk melakukannya.
“Dengan penuh rasa hormat dan rendah diri, saya rasa ramai lagi di kalangan pemuzik tanah air kita yang tidak begitu faham mengenai teori muzik di mana ia adalah asas untuk sesebuah skor filem.
“Ibarat nak buat rumah tapi tak tahu matematik dan fizik, susahlah bukan? Tak cuma itu, kalau penerbit filem nak skor berkualiti, mereka perlu wujudkan bajet yang besar dan tak boleh tangkap muat,” katanya.

Tambahnya, masyarakat tidak tahu akan betapa rumitnya perkara tersebut dan kerana itulah kebanyakan daripada mereka hanya mengenali runut bunyi sahaja dan tidaklah keseluruhan skor muzik dalam sesebuah drama atau filem.
Oleh itu, Loque kini menggalakkan pemuzik-pemuzik di luar sana untuk berani melakukan eksperimen bagi menghasilkan skor muzik filem.
Bagi Loque, industri muzik tanak air wajar dihuni pemuzik muda berbakat dalam bidang tersebut sambil berharap dapat melihat penulisan skor muzik dalam filem menjadi lebih kreatif di masa hadapan. – MYNEWSHUB.CC/EZ

