KUALA LUMPUR – Datuk Seri Nazri Aziz menyifatkan serangan pemimpin pembangkang berkenaan diet quinoa Datuk Seri Najib Razak adalah kerana mereka sudah kehabisan ‘ammo’ agaknya.
“Saya harap satu hari nanti jangan jadi isu seluar dalam jenis apa pula PM pakai nanti,” seloroh menteri pelancongan dan kebudayaan itu.
Tambah Nazri lagi, pemimpin pembangkang termasuklah Tun Dr. Mahathir Mohamad kini sibuk membesarkan isu yang remeh kerana sudah ketandusan material untuk menyerang PM.
“Kita risau… bila tak ada apa-apa (isu), mereka akan lihat perkara ini,” katanya kepada media selepas menandatangani memorandum persefahaman pelancongan antara Malaysia dan Senegal.
Khamis lalu, Najib ketika bercakap mengenai Bajet 2018 di sebuah acara di Universiti Kebangsaan Malaysia berkata beliau kini beralih dari nasi kepada quinoa, sejenis diet bijirin yang mahal berasal dari Amerika Selatan.

Baca: Bijirin Quinoa, Makanan Sihat Popular
Kenyataan Najib itu kemudiannya digunakan oleh pemimpin pembangkang untuk menuduh bahawa Najib tidak faham penderitaan rakyat.
Najib kemudian membalas kenyataan tersebut dengan berkata kos ditanggungnya lebih murah daripada makanan untuk kuda peliharaan Dr. Mahathir.
Nazri, yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO, turut mempertahankan diet quinoa yang diamalkan oleh Najib.
“Betullah perdana menteri cakap, quinoa ini bagi orang yang dah berumur. Nasi mempunyai kandungan gula begitu tinggi. Umur kita dah meningkat, kalau kita makan nasi banyak dia boleh bawa kepada kencing manis.
“Jadi untuk mengelak itu, Jepun ada satu jenis beras quinoa yang sebenarnya bagus. Dan perdana menteri bukan berpura-pura, dia mampu untuk beli, apa salahnya?” kata Nazri.
“Serupa juga macam Dr. Mahathir pun tak berpura-pura juga, dia mampu untuk membayar makanan kuda yang lebih mahal,” katanya.
Nazri turut menambah, jika Mahathir mampu membeli makanan kuda yang mahal, maka apa salahnya jika Najib makan quinoa.
“Apa salahnya Najib sebagai perdana menteri Malaysia kita, nak dia sihat dia makan jenis beras yang mahal sikit. Apa salahnya? Mahathir ini sayang kuda lagi dari perdana menteri kita,” kata Nazri lagi. – MYNEWSHUB.CC

