SHAH ALAM – Polis Selangor mengesahkan sudah menemui kereta Proton Iswara milik pemain bola sepak negara, N. Thanabalan, di sebuah stesen minyak di Ampang, awal pagi Jumaat.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat ketika dihubungi pihak media berkata bahawa kereta berkenaan ditemui sekitar jam 3 pagi tadi susulan maklumat daripada orang awam.
“Pada masa ini kita sedang giat mengumpulkan segala maklumat bagi menjalankan proses siasatan lanjut termasuk untuk mengenal pasti siapakah suspek yang terbabit dalam curi kenderaan pemain tersebut pada Rabu lalu.
“Siasatan dilakukan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak,” kata Fadzil. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Dalam kejadian jam 5 pagi kelmarin, kereta berkenaan dilaporkan hilang selepas pemain muda pasukan Negeri Sembilan itu meletakkan keretanya itu tidak jauh dari Batu Caves, ketika menghadiri sambutan Thaipusam.
Baca: Kereta Thanabalan Hilang Lagi, Kali Ini ‘Mustang Biru’
Thanabalan menaiki kereta lama dibelinya dua tahun lalu itu membawa ahli keluarganya dari Senawang, Seremban dan dilaporkan meletakkan kenderaan berkenaan pada jam 3 pagi sebelum kembali dua jam kemudian.
Beliau kemudian membuat laporan di IPD Gombak berikutan kehilangan kereta keduanya itu. Kes kali pertama melibatkan Perodua Kancil hilang di Kuala Lumpur tahun lalu ketika menjalani latihan dengan Felcra FC.
Tidak lama selepas itu, Thanabalan memaklumkan kejadian malang berkenaan menerusi laman Facebook dan Instagram peribadinya sambil berharap orang ramai yang menemui keretanya itu dapat menghubunginya segera.
Kehilangan kereta terpakai yang dibelinya sendiri dengan harga hanya RM3,000 itu amat dirasai Thanabalan kerana ia amat berjasa serta mempunyai nilai sentimental kepada dirinya dan keluarga. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA