SEMPENA meraikan kejayaan menjulang kembali Piala Sumbangsih 2018, kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) telah menghadiahkan kereta mewah buatan Britain buat Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Perkara itu dimaklumkan menerusi laman Facebook Johor Southern Tiger yang memuat naik gambar sebuah kereta Aston Martin DB9 dengan tema warna biru merah yang sinonim dengan warna bendera Johor.
“Sempena meraikan kemenangan menjuarai piala yang kesepuluh, pemain-pemain dan barisan kejurulatihan pasukan Johor Darul Ta’zim telah menghadiahkan DYAM Tunku Mahkota Johor sebuah kereta Aston Martin yang berkonsep JOHOR (merah biru).
“Allah peliharakan Sultan,” kata kenyataan itu pada petang Ahad.
Menurut laman sesawang automotif paultan.org, harga sebuah Aston Martin DB9 dijual pada harga permulaan RM1.7 juta.
Seorang pengguna Facebook yang menggunakan akaun nama Matt Adil berkata: “Ini bukti pengurusan kelab terbaik, hinggakan pemain dan barisan kejurulatihan pun mampu hadiahkan owner kelab sebuah kereta dengan harga ratusan ribu ringgit.
“Kalau pengurusan kelab tak bagus, gaji selalu culas dibayar, jangankan kata nak bagi hadiah pada orang lain..pemain nak bayar kereta sendiri dekat bank pun sangkut,” tulisnya.


Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Sabtu malam itu, JDT melakar kemenangan 2-1 ke atas Kedah sekali gus memenangi trofi Piala Sumbangsih 2018 hasil jaringan Luciano Figueroa dan Marcos Antonio.
Skuad Harimau Selatan pada awalnya ketinggalan satu gol hasil jaringan penyerang import Kedah, Pablo Pallares.
Bagaimanapun Figueroa berjaya menyamakan kedudukan sebelum Marcos Antonio menambah jaringan buat JDT yang menyaksikan pasukan tuan rumah menang dengan jaringan 2-1. – MYNEWSHUB.CC

