IPOH – Felcra Berhad (Felcra) merancang untuk mengadakan kerjasama dengan beberapa syarikat antarabangsa bagi mengeksport minyak sawit ke negara Asia Barat dan Afrika, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Zulkarnain Md Eusope.
Beliau berkata, maklumat terperinci mengenai rancangan itu akan diumumkan kemudian selepasperbincangan dengan syarikat berkenaan selesai.
“Kerajaan China melalui duta besarnya (di Malaysia) telah menyatakan komitmen untuk mengimport minyak sawit (Malaysia) sekiranya negara Kesatuan Eropah (EU) tidak lagi mahu membeli minyak sawit dari Malaysia.
“Kita (Felcra) perlu mempelbagaikan usaha (untuk meningkatkan perolehan) berikutan isu minyak sawit dengan EU,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis aspirasi 2018 kakitangan Felcra wilayah Perakbersama-sama pemimpin negeri Perak yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Modal Insan negeri Datuk Saarani Mohamad.
Zulkarnain berkata, dalam usaha meningkatkan perolehan Felcra, keperluan mengeksport komoditi itu tidak boleh hanya tertumpu kepada negara tertentu sahaja.
Pada 2 Feb lepas, selepas mengunjungi Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong, Duta Besar China di Malaysia, Bai Tian berkata negara itu tidak akan mengenakan sebarangsekatan ke atas minyak sawit Malaysia dan produk berasaskannya.
Sebaliknya, beliau berkata China akan mengimport lebih banyak produk utama seperti minyak sawit dan produk berasaskan getah dari Malaysia pada masa depan.
Bagi perkembangan lain, Zulkarnain berkata Felcra akan mewujudkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan sektor perladangan, pertanian dan makanan di Felcra Nasaruddin Belia di Parit, dekat sini.
Pusat R&D itu akan berperanan menghasilkan biji benih, antaranya sawit, kelapa matag dan kelapa pandan serta padi, yang bermutu tinggi.
“Perak merupakan negeri paling utama dalam Felcra, oleh itu kita mengambil kira perkara ini dengan membangunkan pusat R&D berkenaan di negeri ini,” katanya.
Zulkarnain berkata, pusat itu dijangka dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi awal bulan depan. – BERNAMA