KUALA LUMPUR – Seorang pegawai eksekutif wanita di sebuah bank di sini ditahan bulan lepas kerana dipercayai bersekongkol dengan sindiket ‘African Scam’ untuk menipu 10 individu di empat buah negeri membabitkan kerugian lebih RM200,000.
Perngarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata wanita berusia 53 tahun itu ditahan di sekitar Kuala Lumpur pada 13 Jan lepas kerana membuka empat buah akaun bank bagi sindiket tersebut untuk melakukan urusan pemindahan wang mangsa,
“Suspek wanita itu turut dipercayai terbabit dalam 10 kes penipuan iaitu empat di Sarawak, tiga di Selangor, dua di Pulau Pinang dan satu kes di Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media, di sini hari ini,.
Susulan penahanan wanita itu, katanya, polis berjaya menahan tujuh lelaki warga Nigeria berusia 26 hingga 34 tahun dalam dua serbuan berasingan di Bandar Sungai Long, Kajang, pada 26 Jan lalu.
Selain itu, katanya, polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan bagi tujuan menipu mangsa iaitu komputer riba, telefon bimbit dan modem.
Menghuraikan kegiatan penipuan sindiket itu, Amar Singh berkata sindiket berkenaan menggunakan laman sosial seperti Facebook dan WhatsApp untuk menjerat mangsa dengan janji cinta yang tidak wujud dan kemudian mangsa dijanjikan dengan penghantaran barangan berharga.
Katanya, mangsa seterusnya akan dihubungi oleh seorang wanita yang menyamar sebagai pekerja kargo atau perkhidmatan kurier yang mengesahkan bungkusan tersebut telah sampai dan perlu dibayar cukai GST serta yuran.
“Mangsa yang terpedaya akan membuat pembayaran ke akaun yang diberikan oleh suspek demi mengambil barangan yang dijanjikan,” katanya.
Beliau berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. kerana menipu, yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat atau boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA