KOTA KINABALU – Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin menyifatkan cadangan sebuah parti pembangkang tempatan untuk mewujudkan enam jawatan ketua menteri sebagai lucu memandangkan Sabah bukan sebuah negeri yang besar.
Katanya berdasarkan saiz populasi Sabah, memadailah ada satu jawatan ketua menteri sahaja.
“Negara kita mengamalkan sistem demokrasi. Bagi kita, kita sudah ada perdana menteri. Kita dalam Persekutuan Malaysia, kita sudah ada ketua-ketua menteri atau menteri besar di setiap negeri. Jadi bagi kita di Sabah ini, cukuplah seorang ketua menteri dan satu kabinet.
“Populasi kita pun bukannya besar. Kalau enam ketua menteri, mana negeri-negeri dia. Kampung-kampung jadi negerilah. Nampak macam lucu jugalah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan tengah hari ber sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sini hari ini.
Yahya yang juga Setiausaha UMNO Sabah berkata demikian sebagai mengulas janji Parti Kebangsaan Sabah (PKS) dalam manifesto mereka yang diumumkan Presidennya Thomas Anggan semalam dan disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan hari ini.
Selain menjanjikan enam ketua menteri, turut dimuatkan dalam manifesto berkenaan jika parti PKS memerintah ialah mengembalikan nama Sabah kepada North Borneo, Kota Kinabalu kepada Jesselton, melantik gabenor wanita dalam kalangan kaum bumiputera manakala negeri Sabah akan dipimpin oleh seorang perdana menteri.
Bagaimanapun kata Yahya, rakyat Sabah sudah cukup matang dan berpendidikan serta mengetahui sistem politik bukan sahaja di Sabah dan Malaysia tetapi juga sistem politik antarabangsa.
Katanya Amerika Syarikat cuma ada seorang presiden meskipun mempunyai banyak negeri yang membentuk negara itu.
“Kita mesti rasional. Kita tidak boleh buat perkara yang lucu-lucu. Kita mesti serius menawarkan perkhidmatan dan meningkatkan kerja kita supaya kita dapat mencapai satu tahap negara maju. Ertinya kita mempunyai pendapatan lebih tinggi daripada sekarang. Itu matlamat kita. Bukan untuk mengadakan jawatan-jawatan lebih yang tidak berguna kepada rakyat,”katanya.
Mengenai persiapan UMNO Sabah untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14, Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, berkata jentera pilihan raya parti itu sudah bersedia digerakan pada bila-bila masa.
Bagaimanapun katanya jentera parti sentiasa diingatkan agar terus mengadakan perjumpaan dan perbincangan dalam kalangan mereka di semua peringkat bagi membaiki sebarang kelemahan untuk memastikan jentera parti sentiasa mantap. – BERNAMA

