SERONOK… Thaipusam disambut penganut Hindu di kuil di Batu Caves menarik perhatian pelancong asing yang kagum dengan kemeriahan dan kemesraan masyarakat pelbagai kaum turut sama meraikannya.
Pelancong dari England, Rebecca Welch, 34, tidak menyangka dapat menyaksikan suasana perayaan yang begitu menyeronokkan ketika menyertai sambutan itu.
“Ia begitu mengagumkan! Tahun lepas, saya dimaklumkan oleh kawan saya bahawa majlis sambutan Thaipusam begitu hebat dan penuh berwarna-warni. Saya berada di sini hari ini bagi memastikan saya tidak ketinggalan. Festival ini memang benar-benar menarik,” katanya kepada Bernama.
Welch berkata beliau agak terkejut dengan pengalaman di Batu Caves berbanding dengan apa yang dilihat di India tahun lepas.
“Ia kelihatan seperti mini India di sini, di Malaysia,” katanya.
Ratna Aqilah Maulana, 34, dari Acheh, Indonesia berkata beliau bersama dua rakannya mengambil peluang berkunjung ke Batu Caves untuk melihat sendiri keunikan sambutan perayaan tersebut.
“Di Acheh, tidak ramai penganut Hindu dan tiada sambutan seperti di sini. Saya agak teruja melihat suasana yang penuh warna warni dan dipenuhi orang ramai tanpa mengira peringkat umur,” katanya.
Tinjauan Bernama mendapati, seawal 7 pagi penganut Hindu membanjiri pekarangan Batu Caves bagi menunaikan nazar masing-masing dengan menjunjung belanga susu dan membawa kavadi yang dihias cantik.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kuil Sri Subramaniar Swamy, Tan Sri R. Nadarajah berkata beliau berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang meluangkan masa hadir ke sambutan perayaan itu.
“Kehadiran timbalan perdana menteri sememangnya sangat dinantikan dan kerajaan tidak pernah melupakan kepentingan kaum India,” katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada Ahmad Zahid yang mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk membangunkan sebuah kompleks kebudayaan masyarakat India di kuil itu. – BERNAMA

