ALOR SETAR – Tidak sampai 24 jam, harga tambang feri dari Jeti Kuala Kedah dekat sini ke Pulau Langkawi yang naik sebanyak RM3 bermula semalam telah kembali pada harga asal hari ini
Kalangan penumpang malah turut menarik nafas lega apabila kaunter tiket di terminal feri jeti tersebut pada pagi Selasa mula mengenakan tambang asal iaitu RM23 bagi dewasa dan RM17 bagi kanak-kanak bawah 12 tahun.
Semalam tular menerusi media sosial apabila ramai netizen tempatan mempersoalkan kenaikan harga tambang feri itu konon berikutan tambahan untuk caj pengurusan sebanyak RM3 yang berkuat kuasa pada 1 Januari.
Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, keputusan menarik balik caj itu adalah langkah terbaik kerana kenaikan yang dimasukkan dalam tambang feri sangat membebankan pengguna.
“Cake sejak semalam menerima lebih 100 aduan daripada orang ramai berhubung kenaikan harga tambang feri bagi penumpang yang membuat pembelian di kaunter,” katanya ketika ditemui media di terminal feri itu hari ini.
Ia susulan arahan terkini kerajaan negeri mengarahkan penguasa feri menangguh sebarang kenaikan, terutama caj tambahan terhadap penumpang dalam perjalanan dari jeti Kuala Kedah ke Langkawi yang berkuat kuasa semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, isu itu perlu diberi perhatian serius sebelum menjadi isu berlarutan setelah banyak pihak melahirkan perasaan tidak puas hati mengenai hal itu.
“Saya arah perkara itu ditangguhkan dahulu. Jabatan Laut dan pengusaha feri diminta memberi penjelasan kepada pihak kerajaan negeri dahulu sebelum kenaikan sebanyak itu dilakukan,” katanya kepada pemberita semalam.
Tajul Urus mengulas harga tambang baharu yang tular sempena tahun baharu 2018 apabila pengusaha mengenakan kadar RM26 untuk penumpang dewasa dan kanak-kanak pula sebanyak RM20 untuk laluan berkenaan.
Manakala tambang dari Kuala Perlis di Perlis ke Langkawi turut dinaikkan daripada RM18 kepada RM21 untuk penumpang dewasa manakala kadar kanak-kanak pula daripada RM12 kepada RM16. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

