TENTU ramai suka membaca coretan dan nukilan bekas wartawan jenayah, Syahril A. Kadir yang sering berkongsi pelbagai kisah menarik buat tatapan semua.
Namun apa yang menarik untuk kali ini, beliau berkongsi keterujaan yang dirasa ketika pertama kali bertemu buah hati rakyat Malaysia iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Bersempena ulang tahun kelahiran Siti yang ke-39 semalam, Syahril dilihat berkongsi moment indah itu menerusi sebuah coretan di akaun Facebook miliknya.
Baca: Stesen Radio Buat Kejutan, Siti Umum Jantina Anak
Menerusi perkongsian itu, Syahril menceritakan bagaimana pertemuan empat mata itu berlaku sehinggakan beliau terpaksa melakukan ‘penyamaran’ semata-mata untuk bertemu penyanyi tersohor itu.
Katanya menerusi catatan itu, ceritanya bermula ketika beliau masih bergelar seorang pelajar universiti pada sekitar tahun 1996.
Ekoran diasak perasaan teruja, beliau memberanikan diri untuk menghadiri ke sidang media yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara meskipun acara tersebut hanya melibatkan wartawan hiburan.
Namun keadaan menjadi mendebarkan apabila penyambut tetamu sidang itu bertanyakan organisasi media yang diwakili sehinggakan beliau terpaksa mencari alasan kukuh bagi menyertai majlis tersebut dan ternyata usaha gigih itu membuahkan hasil.
“Alamak dah kantoi! Entah macam mana tiba-tiba boleh dapat idea dan beritahu saya kawan abang Siti iaitu Ayie.
“Untuk pengetahuan, Ayie ni dulu tinggal dekat rumah famili saya di Pandan Jaya, jadi selalulah nampak dia main takraw kat sana,” tulisnya menerusi entri itu.

Menurut Syahril lagi, selepas majlis tersebut berakhir beliau ternampak pelantun lagu, Biarlah Rahsia itu sedang berehat di atas bangku sambil mengelap air mata.
Syahril yang enggan melepaskan peluang keemasan itu kemudiannya memberanikan diri mendekati penyanyi tersebut dan menyatakan hasratnya untuk bergambar.
“Awak, saya tahu awak tak nak ambil gambar dengan lelaki, tapi saya datang dari jauh ni, boleh tak kita bergambar, tapi kalau tak boleh tak apalah,” tanya Syahril kepada Siti.
Bagai bulan jatuh ke riba itulah perumpamaan yang sesuai digambarkan apabila Siti dikatakan bersetuju dengan permintaan Syahril meskipun pada awalnya dihalang oleh seorang petugas syarikat rakaman.
“Siti tak cakap apa, dia cuma senyum je, then dia angguk. Fuh! Abam masa tu rasa macam menang loteri beb, terus abam panggil sorang waiter ni untuk ambil gambar kami berdua,” kata Syahril.
Perkongsian secara terbuka Syahril itu dilihat telah menarik perhatian warga netizen alam maya yang mana rata-rata kagum dengan kegigihan beliau.
Sehingga kini, Syahril masih aktif menulis dan berkongsi pelbagai ilmu serta kisah menarik yang bermanfaat dan menarik untuk bacaan semua. – MYNEWSHUB.CC/AM
Sumber: Syahril A. Kadir