TRANG (THAILAND) – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mempelawa rakyat Thailand ke negeri itu bagi memeriahkan dua program utama yang dirancang pada Mei nanti.
Baginda bertitah program tahunan ‘Perkampungan Sunnah’, anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) akan diadakan di Masjid Alwi Kangar dari 11 hingga 13 Mei ini.
“Program siri kelima ini bertemakan ‘Pembersihan Jiwa, Menurut Al Sunnah’,” titah baginda selepas berkenan melancarkan kempen ‘Promosi Masakan Perlis’ yang diadakan di sebuah hotel di sini.
Titah baginda, program Perlis Marathon 2018 – ‘Race For The Champions’ pula bakal berlangsung pada 5 Mei di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah antara kategori yang akan dipertandingkan ialah 42 kilometer (km), 21km, 10km dan 5km.
Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman web www.racexasian, titah baginda.
Terdahulu, baginda berkenan meninjau menu dari Perlis yang diperkenalkan pada kempen itu antaranya kurma daging Arau, pajeri nanas Padang Katong, gulai tulang dan rebung Padang Besar Selatan serta pekasam Timah Tasoh.
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda baginda Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Promosi itu dianjurkan sempena program Ziarah Mahabbah MAIPs ke Wilayah Trang dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Hotel Thumrin Thana, Trang dan Restoran Shamiza Kg Gial, Arau. – BERNAMA