RIYADH- Ahli perniagaan terkemuka Arab Saudi, Putera Alwaleed bin Talal dibebaskan hari ini selepas ditahan selama dua bulan berhubung dakwaan kes rasuah.
Menurut beberapa laporan, menurut keluarga putera berkenaan, Alwaleed dibebaskan beberapa jam selepas beliau mengadakan sesi temu bual eksklusif bersama Reuters.
Terdahulu, Alwaleed yang ditahan bersama beberapa anggota keluarga diraja, menteri dan ahli perniagaan terkemuka menerusi temubual itu berkata, beliau menjangka pertuduhan ke atas beliau akan digugurkan dan dibebaskan daripada tahanan beberapa hari lagi.
“Tidak ada pendakwaan, hanya terdapat beberapa perbincangan antara saya dan kerajaan.
“Saya percaya kami akan memuktamadkan isu ini dalam beberapa hari lagi,” katanya.
Alwaleed, 62 berkata, beliau dan tahanan lain yang lain ditahan awal bulan November lalu semasa operasi anti rasuah kerajaan ditempatkan di Hotel Ritz Carlton.
Beliau menegaskan, sepanjang perbincangan dengan kerajaan, beliau kekal dengan pendirian tidak terlibat dalam sebarang rasuah.
“Saya menjangkakan saya kekal menguasai keseluruhan firma pelaburan global tanpa perlu menyerahkan sebarang aset kepada kerajaan,” katanya.
Seorang pegawai Arab Saudi sebelum ini mendakwa pertuduhan terhadap Alwaleed turut melibatkan penggubahan wang haram, rasuah dan peras ugut pegawai.
Difahamkan, sebagai langkah pembebasan tahanan, pihak berkuasa meminta mereka menyerahkan aset dan wang tunai masing-masing.
Pembebasan Alwaleed dengan kekayaan dianggarkan bernilai AS$17 bilion (RM65 bilion) dapat memberi jaminan pelabur terhadap empayar perniagaannya.
Sementara itu, beberapa ahli perniagaan terkemuka termasuk Waleed al-Ibrahim, pemilik rangkaian televisyen MBC dilaporkan telah mencapai penyelesaian dengan pihak berkuasa bagi pembebasan mereka.-Agensi

