GEORGE TOWN – Kerajaan pimpinan DAP Pulau Pinang didakwa cuba mengelirukan rakyat dengan memberi kenyataan yang bercanggah mengenai keluasan dan nilai dua plot tanah yang digunakan sebagai pembayaran awal bagi kos kajian projek tiga lebuh raya kepada syarikat perunding.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Teng Chang Yeow berkata Ketua Menteri Lim Guan Eng pernah mengeluarkan kenyataan pada 11 Januari lepas bahawa keluasan kedua-dua tanah di Tanjung Tokong ialah 3.67 ekar (1.49 hektar).
Namun Teng berkata kenyataan Guan Eng itu bercanggah dengan jawapan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan negeri Lim Hock Seng pada persidangan Dewan Undangan Negeri pada 19 Mei tahun lepas yang menyatakan kerajaan negeri telah memberikan dua lot tanah berukuran 5.67 ekar (2.3 hektar) kepada syarikat itu.
“Sebenarnya, jawapan Hock Seng kepada Dewan adalah jawapan rasmi kerana beliau menjawab bagi pihak ketua menteri seperti yang ditetapkan dalam peraturan-peraturan dewan undangan negeri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Teng berkata dalam jawapan Hock Seng pada Mei lepas menyatakan bahawa dua bidang tanah di Lot 702 dan sebahagian daripada Lot 713 telah diberikan kepada syarikat itu setelah kajian untuk tiga lebuh raya tersebut selesai.
“Hock Seng memberitahu Dewan pada Mei lepas bahawa keluasan bagi Lot 702 adalah 3.67 ekar (1.5 hektar) bernilai RM135 juta manakala Lot 713 adalah dua ekar (0.8 hektar) bernilai RM73 juta menjadikan jumlahnya RM208 juta,” katanya.
Beliau berkata angka yang dikemukakan oleh Guan Eng dan Hock Seng adalah berbeza dan mempunyai lebihan dua ekar.
Projek berkenaan merangkumi Jalan Berkembar Pesisir Utara sepanjang 10.53 km dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang, jalan pintas Air Itam-Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu sepanjang 5.7 km dan jalan pintas Persiaran Gurney-Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu sepanjang 4.075 km.
Projek itu juga termasuk pembinaan terowong dasar laut sepanjang 7.2 km menghubungkan Persiaran Gurney di sini ke Bagan Ajam di Seberang Perai.
Projek itu sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana didakwa melibatkan kos kajian kebolehlaksanaan yang tinggi dan kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri. – BERNAMA

