KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebenarnya memang suka dikatakan sebagai kafir oleh PAS.
Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Jabar berkata, Mahathir suka sangat kalau dikafirkan kerana beliau gunakan ia sebagai isu politik.
Kata beliau, sebab itu setiap kali menjelang pilihan raya umum, Mahathir, 92, akan membangkitkan semula isu tersebut.
“Mahathir suka sangat kalau dia dikafirkan. Sebab itu tiada isu lain yang dimainkan hinggakan sejurus selepas kononnya minta maaf pun dia kembali panaskan isu amanat.
“Dari dulu dia menjaja fitnahnya dan inilah juga jajaan juak-juaknya sehinggakan menteri bukan Islam, Dato Seri S. Samy Vellu pun pernah dakwa PAS kafirkan dia.
“Mahunya Mahathir ialah PAS kafirkan dia dan kafirkan semua orang yang tidak bersama PAS supaya boleh jadi isu. Mahathir rela dituduh kafir demi mendapatkan undi simpati untuk raih kemenangan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mahathir kini merupakan Pengerusi Pakatan Harapan yang diketuai DAP dan dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN)
DAP dan Pakatan Harapan berjaya memujuk Mahathir menyertai pembangkang selepas keluar daripada UMNO untuk dipergunakan bagi meraih sokongan orang Melayu.
Justeru, kata Rosli, apa yang sebenar dari isu amanat Hadi bukannya isu kafir mengkafir, tetapi isunya adalah ada orang memang minta dikafirkan iaitu Mahathir.
Terdahulu, kata beliau, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak pernah mengatakan mufti yang tidak menyokong PAS sebagai kafir seperti yang didakwa oleh Mahathir.
“PAS tidak pernah kata begitu. Abdul Hadi dalam ucapannya itu tidak sedikit pun menyebut sedemikian, yang menyebutnya Mahathir, hampir setiap kali hampir PRU pasti Mahathir akan mainkan isu ini walaupun dia bukan Perdana Menteri lagi.
“Sekali lagi Mahathir heret mufti yang kononnya pula bersalah kerana diam dan tak buat kerja dalam isu amanat Hadi sehingga berlakunya tindakan ekstrim peristiwa Memali,” kata beliau. – Mynewshub.cc

