LABUAN – Kadar jenayah di pulau bebas cukai ini menurun hampir 5.56 peratus tahun lepas, dengan mencatat 204 kes berbanding 216 kes pada 2016.
Ketua Polis Labuan, ACP Adzhar Othman berkata penurunan indeks jenayah itu hasil dedikasi dan komitmen tinggi yang ditunjukkan anggota pasukan keselamatan tersebut dalam memerangi jenayah.
“Walaupun penurunan sebanyak 12 kes, lebih banyak usaha perlu dilakukan bagi menjadikan bandar ini bebas daripada jenayah serius,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan surat penghargaan kepada 83 anggota dan pegawai polis semasa perhimpunan bulanan kontinjen polis Labuan hari ini.
Beliau berkata kadar jenayah yang rendah itu adalah pencapaian membanggakan kerana pulau bebas cukai berkenaan mencatat penurunan paling ketara setiap tahun sejak lima tahun lepas.
Adzhar berkata pasukan keselamatan itu tidak akan mudah berpuas hati dengan pencapaian tersebut, sebaliknya akan terus mengambil pendekatan berkesan dalam membanteras jenayah.
“Bagaimanapun, peningkatan atau penurunan dalam indeks jenayah tidak mencerminkan prestasi sebenar pasukan polis, tetapi ia menunjukkan tahap kepuasan orang ramai terhadap keselamatan di persekitaran mereka.
“Meskipun berjaya mengurangkan kadar jenayah, kita tidak boleh cepat berpuas hati, sebaliknya terus berusaha mengubah persepsi masyarakat terhadap pasukan polis dengan memantapkan kualiti perkhidmatan untuk kepuasan orang ramai,” katanya.
Mengenai Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang, beliau menggesa anggota pasukan keselamatan itu bersedia dari segi fizikal dan mental dalam menangani pelbagai cabaran yang bakal dihadapi. – BERNAMA