JOHOR BAHRU – Mangsa banjir di Johor setakat petang ini meningkat kepada 395 orang berbanding 387 orang pada tengah hari tadi dengan pembukaan satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) di Segamat.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata PPS Balai Raya Kampung Mensudut Lama itu dibuka pada pukul 1 tengah hari tadi bagi menempatkan lapan mangsa daripada tiga buah keluarga yang terjejas akibat banjir kilat.
“PPS itu dibuka berikutan paras air sungai yang semakin meningkat kerana hujan, namun pemantauan berterusan sentiasa dijalankan oleh pelbagai agensi dan pejabat daerah,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.
Setakat ini, lapan PPS telah dibuka dengan enam di daerah Mersing, satu di Kluang dan satu di Segamat.
Sementara itu, Pegawai Daerah Mersing, Ashari Kasnan berkata bekalan makanan dilaporkan berkurangan di beberapa kawasan terjejas di Mersing termasuk kawasan kejadian tanah runtuh yang berlaku dua hari lepas berdekatan Pejabat Jabatan Taman Laut di Pulau Aur.
“Sabtu ini, bekalan makanan akan dihantar oleh pasukan keselamatan negeri ke mukim pulau dan perkampungan orang asli,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, antara kawasan yang terlibat bagi penghantaran bekalan makanan itu adalah Kampung Peta, Kampung Punan, Kampung Tewowoh, Pulau Aur, Pulau Tinggi dan Pulau Sibu.
Sehingga kini, Mersing merupakan daerah tertinggi jumlah mangsa yang terjejas iaitu 379 mangsa daripada 105 buah keluarga. – BERNAMA

