BELUM dua bulan melahirkan puteri sulung, pelakon Ezzaty Abdullah dikejarkan ke hospital bagi menjalani pembedahan membuang ketulan pada bahagian dada, semalam.
Isteri kepada aktor Azwan Kombos ini selamat dibedah si Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur.
Berkongsi tentang keadaan kesihatan isterinya, Azwan menjelaskan bahawa isterinya telah selamat selesai menjalani pembedahan yang memakan masa dua jam itu.
“Alhamdulillah, selepas dua jam dibedah, semuanya selamat. Punca wujudnya ketulan itu masih belum diketahui. Hari ini doktor akan memberitahu dengan terperinci keadaan isteri,” katanya kepada BH Online.
Ezzaty baru melahirkan anak sulungnya, Harum Dalia pada 7 Disember lalu.
Berita tentang kesihatan Ezzaty diketahui umum melalui kiriman Instagram yang dimuat naik oleh Azwan.
Kapsyen yang disertakan bersama-sama gambar tersebut juga amat menyentuh hati pengikutnya: “Isteri saya bertanya, kenapa saya? Saya pun kata kepadanya, bersabar. Allah uji sebab Dia sayang pada kita. Isteri tidak tahu, saya pun tanya soalan sama dalam hati.”
Ditanya sejak bila kewujudan ketulan itu disedari, Azwan memaklumkan, ia diketahui sejak 10 hari lalu. Namun, pada mulanya mereka tidak terfikir ia serius dan Ezzaty hanya mengikuti sesi urutan seperti wanita berpantang lain.
“Pada mulanya, kami ingat biasa saja. Kami ke klinik, selain isteri mengurut. Namun, ketulan itu tidak mengecil. Lalu kami terus berjumpa doktor pakar,” katanya.
Kongsi Azwan lagi, sebagai suami dia tidak sampai hati melihat Ezzaty sering menangis sebelum menjalani pembedahan tersebut.
“Setakat ini, daripada segi mental Ezzaty belum kuat lagi dan perlukan sokongan. Ketika doktor memberitahu dia perlu menjalani pembedahan, dia menangis.
“Saya beritahu, emosi perlu kuat supaya badan tidak lemah. Tak sampai hati dan kasihan melihatnya. Tak tahu macam mana nak memberi tindak balas, hanya mampu bersikap positif saja,” katanya lagi. – MYNEWSHUB.CC

