KUALA LUMPUR – Biarpun masih muda, atlet angkat berat Muhammad Erry Hidayat diberi kepercayaan untuk mengisi kekosongan dalam skuad negara ke Sukan Komanwel 2018, yang ditinggalkan Hafifi Mansor ekoran gagal ujian doping.
Pengurus pasukan, Amirul Hamizan Ibrahim berkata walaupun Muhammad Erry, 19, sekadar mendudukitempat keempat kategori 69kg pada Sukan SEA ke-29 di Kuala Lumpur tahun lepas, beliau merupakan pilihan terbaik untuk menggantikan Hafifi.
“Bercakap mengenai peluang Erry untuk raih pingat, saya rasa beliau mampu sekurang-kurangnya raih gangsa. Untuk menyamai pencapaian Hafifi raih pingat emas di Glasgow pada 2014, peluang Erry agak sukar.
“Namun, peluangnya untuk raih pingat ada jika beliau terus berusaha dan fokus pada latihan yang kita berikan sebelum memulakan aksi di Gold Coast nanti,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan bagi temasya sukan berkenaan di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini hari ini.
Hafifi digantung sementara oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) kerana gagal ujian doping selepas dapatan analisis memudaratkan sampel urin dikembalikan mengandungi Oxymetholone, bahan steroid sintetik anabolik dan androgenik.
Dalam pada itu, pada mesyuarat tersebut, Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) menyenaraikan enam atlet lelaki dan empat atlet wanita ke Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, April ini.
Selain Muhammad Erry, atlet lelaki lain ialah Che Mohd Azrul (56kg), Mohd Aznil Bidin (62kg), Abdul Mubin Rahim (77kg), Fazrul Azrie Mohdad (85kg), Muhammad Noor Farhan Ideris (105kg).
Sementara empat atlet wanita ialah Sharifah Inani Najwa Syed Anuar (53kg), Marilyn Marcus Marceeta (58kg), Jabriella Teoh (75kg) dan Siti Aisyah Rosli (90kg). – BERNAMA
