UNIK… Menariknya! Dapur terapung yang pertama di dunia berkonsepkan seumpama trak makanan bakal dibuka di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada akhir bulan ini!
Menurut laporan portal berita tempatan Gulf News, usaha itu berdasarkan konsep trak makanan di tengah laut dengan menyediakan makanan kepada pelanggan yang datang menggunakan jet ski, bot kecil dan kapal layar.
“Kami memulakan projek ini sejak Mei tahun lalu, dengan kemudahan dipanggil Aqua Pod itu mengambil masa tiga bulan untuk dibina. Matlamatnya di sini adalah untuk memperbaharui idea trak makanan biasa ditemui di darat.
“Bezanya kami cuba membangunkan apa yang boleh anda sifatkan sebagai dapur terapung, bagi pelanggan di kapal berbanding kereta,” kata Ahmad Yousuf, pengasas studio reka bentuk arkitek Aquatik, dan membina Aqua Pod.
Beliau berkata Aqua Pod tersebut akan mula beroperasi di perairan Jumeirah, bagi meliputi kawasan seperti Al Sufouh dan pantai peranginan Kite. Ia juga dapat bergerak dan berpindah mengikut permintaan pengguna.
“Lokasi utama di mana kami akan beroperasi pada awalnya adalah di Jumeirah, supaya tempat-tempat seperti Pantai Al Sufouh, Kite dan juga di kawasan-kawasan tumpuan pelancong asing sekitar Palm Lagoon.”
Menjelaskan bagaimana pelanggan boleh memesan makanan mereka, Ahmad berkata dua sistem sudah dihasilkan. Cara pertama dipanggil sebagai sistem bendera, yang menyaksikan jet ski penghantaran meninggalkan Aqua Pod.
“Ia pergi ke semua bot di sekeliling kami dengan memberikannya bendera. Penumpang kapal yang mahu membuat pesanan boleh mengibarkan bendera dan jet ski itu akan mengambil pesanan mereka sebelum hantar makanan.
“Orang ramai juga boleh memesan sendiri dengan berhenti di Aqua Pod menggunakan bot atau jet ski mereka, dan memesan makanan. Cara ini disediakan bagi kapal marin lebih kecil berbanding yang lebih besar,” tambah Ahmad.
Bagi makanan yang ditawarkan pula, beliau berkata Aqua Pod akan menghidangkan pelbagai jenis burger memandangkan ia adalah makanan yang paling mudah untuk dijual dan senang disediakan dalam masa singkat.
“Klien kami memilih konsep burger, kerana kebanyakan orang di pantai gemar burger dan ia hidangan paling senang untuk dimakan. Pada masa akan datang, pilihan menu boleh diperluaskan kepada piza dan pencuci mulut.”
Ia bagaimanapun bergantung kepada tahap kejayaannya. Ahmad juga menekankan Aqua Pod dibina dengan idea kemampanan, dengan tenaga elektrik serta memiliki sistem pengumpulan sampah yang dibuang di tengah laut.
“Jika sesiapa memesan daripada kami dan buang sampah di laut, Aqua Pod akan mengumpul sisa pepejal itu ke dalam salah sebuah tangka untuk dibuang kemudian di darat,” dedahnya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
