TERDAHULU pelakon jelita, Sharifah Sakinah teruk menerima kecaman apabila jenaka spontan yang dibuat olehnya menyinggung perasaan sesetengah pihak.
Ia melibatkan isu pelakon berkenaan didakwa mengeluarkan kenyataan biadab yang berbaur hinaan terhadap kematian vokalis kumpulan terkenal dari Korea Selatan, Shinee iaitu Kim Jong-hyun pada 18 Disember lalu.
Susulan itu, Sakinah menerusi entri di Insta Story miliknya tampil memohon maaf secara terbuka kepada peminat-peminat K-Pop di seluruh Malaysia berhubung perkara berkenaan.
Menerusi entri berkenaan juga, Sakinah memohon maaf kepada pelakon, Janna Nick kerana secara tidak langsung telah membabitkan sama aktres berkenaan dalam hal tersebut.

“Pertama sekali saya ingin meminta maaf kepada Janna Nick kerana melibatkannya dalam perkara ini. Dia tidak ada kena mengena dalam hal ini.
“Kepada semua peminat K-Pop saya minta maaf berhubung video yang telah menunjukkan rasa tidak hormat kepada idola anda. Saya tiada niat untuk memalukannya,” katanya dipetik mStar Online.
Katanya lagi, dia sama sekali tiada niat untuk menghina mahupun mempersenda berhubung kematian sesiapa sebaliknya, mereka ketawa selepas melihat rambut Janna yang dilunturkan menjadi warna Blonde.
“Saya sekali lagi minta maaf jika saya buat sesiapa tersinggung dengan video itu. Saya sendiri tidak akan sesekali mempersendakan kematian sesiapa terutama jika ia melibatkan tekanan perasaan.
“Saya harap perkara ini tidak diperbesarkan. Sekali lagi saya minta maaf,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, dua selebriti itu telah mengundang kemarahan para peminat K-Pop tempatan selepas video pendek memaparkan Janna yang berada di sebuah salun.
Ketika itu Janna sedang membuat proses bleaching rambut pendeknya daripada hitam keperangan ke blonde, telah disamakan oleh Sakinah dengan mendiang Jong-hyun.
Meskipun hanya sekadar berjenaka, namun netizen dilihat tidak senang dengan gurauan berkenaan dan beranggapan mereka seolah-olah menghina kematian mendiang.
Baca: “Ini Yang Mati Tu Kan??” – Peminat K-Pop Selar Sakinah
Janna namun telah memohon maaf menerusi kemas kini di laman Twitter pada Sabtu dengan mengatakan dia tidak menumpukan perhatian terhadap kata-kata Sakinah itu, tapi hanya tertawa bersama-sama rakannya itu. – MYNEWSHUB.CC/AM
