GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) hari ini menggesa pihak berkuasa mengenakan tindakan yang lebih tegas terhadap pihak-pihak yang mengeluar, memiliki atau mengimport mercun dan bunga api di negara ini.
Presiden CAP, S.M Mohamed Idris berkata walaupun terdapat undang-undang melarang penggunaan mercun dan bunga api, ia masih dijual secara berleluasa.
“Negara kita mengharamkan penggunaan bahan letupan seperti mercun dan bunga api, tetapi kita masih boleh dengar (mercun dan bunga api) setiap kali musim perayaan.
“Malah, ia boleh didapati dengan begitu mudah di samping harganya ada yang serendah RM2.50 sahaja,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata sehubungan itu, CAP meminta kerajaan untuk meminda Akta Bahan Letupan 1957 bagi membolehkan hukuman maksimum dikenakan terhadap pengimport, peruncit dan sesiapa sahaja yang memiliki atau bermain mercun dan bunga api.
“Kami mahu pihak berkuasa mengenakan hukuman penjara mandatori (sesiapa memiliki mercun dan bunga api) serta merampas kenderaan yang ditemui bersama mercun dan bunga api,” katanya sambil memberi contoh di United Kingdom, mereka yang terlibat mengedar serta memiliki mercun dan bunga api boleh dihukum penjara enam bulan atau denda £5,000 (RM27,125). – BERNAMA