KOTA MARUDU – “Kemudahan bilik makmal serta ruangan kelas yang besar di bangunan baharu sekolah ini menjadikan sesi pembelajaran kami lebih fokus dan selesa,” kata pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandau Mohd Irfan Kee Charles mengenai keadaan baharu sekolahnya.
Berkongsi pengalaman ketika berada di bangunan lama sekolah, Mohd Irfan berkata SMK Bandau dahulunya menumpang bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Ongkilan, dan dengan itu, segala kemudahan sekolah dikongsi dengan murid sekolah rendah berkenaan.
“Di bangunan lama, kemudahan makmal agak terhad, tetapi di bangunan baharu ini makmal termasuk makmal sains mencukupi dan kami boleh belajar dengan lebih fokus selain banyak benda baharu dipelajari dan diterokai menjadikan pembelajaran lebih menarik,” katanya ketika ditemui Bernama di sekolah itu hari ini.
Seorang lagi pelajar SMK Bandau, Maybelisa Hazeline Larsson berkata dengan adanya bangunan sekolah baharu membolehkan dia dan rakan-rakannya bersemangat untuk mencantikkan dan menceriakan kelas memandangkan sebelum ini mereka tidak berpeluang berbuat demikian.
“Semasa menumpang bangunan sekolah, kami berkongsi kelas dengan pelajar sesi pagi, jadi kami tiada peluang menceriakan kelas masing-masing selain ruangan kelas kurang selesa. Jika dibandingkan dengan sekarang, kami mempunyai kelas yang cukup besar dan selesa untuk belajar,” katanya.
Maybelisa tidak menafikan, prasarana sekolahnya ketika ini membolehkan dia dan pelajar lain menikmati pembelajaran lebih sistematik dan interaktif menerusi pelbagai kemudahan yang lengkap selain mendorong pelajar mengeluarkan idea-idea bernas ketika sesi pembelajaran.
SMK Bandau ditubuhkan pada tahun 2000, namun pada ketika itu, sekolah berkenaan menumpang bangunan di SK Ongkilan. Bagaimanapun, pada Mac 2014, sekolah menengah itu mula menggunakan bangunan sendiri.
Selain dilengkapi sebanyak 24 kelas, makmal sains, makmal komputer, pusat pentadbiran, pusat sumber dan kantin, sekolah menengah itu turut dilengkapi bangunan asrama serta padang dan gelanggang untuk aktiviti riadah dan bersukan.
Bagi seorang guru sains di SMK Bandau, Irine Jokilyn yang merupakan antara guru terawal mengajar di sekolah berkenaan berkata, sesi pembelajaran di bangunan baharu sekolah itu lebih seronok kerana adanya kemudahan makmal yang membolehkan pelbagai eksperimen sains dijalankan dengan lebih mudah.
“Kemudahan sekolah seumpama ini menjadikan pelajar sangat seronok belajar dan mudah bagi mereka memahami apa yang dipelajari,” katanya.
Sementara itu, Pengetua SMK Bandau Halim Bidin berkata pentadbiran sekolah lebih teratur, sesi pembelajaran selesa dan pertambahan jumlah pelajar merupakan antara perbezaan ketara selepas sekolah yang ditadbirnya mulai 2011 itu berpindah ke bangunan baharu sekali gus memiliki bangunan sendiri.
“Sebelum kami berpindah ke bangunan baharu sekolah, kami mempunyai seramai 720 orang pelajar sahaja, tetapi kini, SMK Bandau mempunyai seramai 1,022 pelajar, lonjakan begitu ketara dalam tempoh beberapa tahun ini,” katanya, dan menambah sekolah itu kini mempunyai seramai 53 orang guru.
Halim mewakili seluruh warga SMK Bandau melahirkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana begitu prihatin, dan dalam masa sama, menepati janji untuk menyediakan prasarana pendidikan berkualiti khususnya kepada rakyat di Kota Marudu.
“Ini juga menjadi cabaran buat kami kerana dengan adanya prasarana dan kemudahan sekolah yang lengkap dan berkualiti, kami tiada lagi alasan untuk tidak melahirkan lebih ramai anak bangsa Kota Marudu yang cemerlang,” katanya.
Bagi Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Bandau Jimson Majemal, prasarana pendidikan yang lengkap itu membolehkan anak-anak mereka menikmati pembelajaran lebih selesa dan menarik sekali gus mendorong memperoleh pencapaian terbaik dalam akademik mahupun kokurikulum.
“Ini juga memberi motivasi kepada mereka untuk terus belajar ke peringkat lebih tinggi,” katanya. — BERNAMA