AKIBAT tidak cukup rehat, Ayie yang merupakan vokalis kumpulan Floor88 yang popular dengan lagu Zalikha, telah rebah semalam sebelum membuat rakaman single terbaharu kumpulan mereka.

Kejadian itu dikatakan berpunca kerana Ayie atau nama sebenarnya, Nik Fadlee Elhamshah, 20, tidak mendapat rehat yang mencukupi hingga membuatkan dia terlalu letih.
“Sebelum nak buat rakaman single terbaru tu, saya dah rasa sakit kepala tapi paksa juga diri sebab nak selesaikan cepat,” katanya dipetik daripada mStar Online.

Ayie juga dikatakan sedang melakukan persediaan bagi peperiksaan akhir sebagai pelajar jurusan teater di Aswara.
Dalam masa yang sama, kumpulan Floor88 juga kini mempunyai jadual yang padat dan disebabkan itu juga dia mengalami keletihan yang terlampau.

“Masa abang Harry (Khalifah) tanya saya OK ke tak, tiba-tiba saya terus jatuh pengsan. Sedar-sedar dah baring atas kerusi.
“Sejak bulan lalu, jadual saya bertambah padat dengan peperiksaan akhir. Mungkin sebab itu badan tak cukup rehat,” tambahnya lagi.
Sebelum kejadian yang tak dijangka itu terjadi, Eric yang merupakan salah seorang anggota kumpulan Floor88 sedang membuat siaran langsung (LIVE) di Instagramnya.

Secara tiba-tiba ketika Harry daripada kumpulan Khalifah bertanyakan tentang keadaannya, dia terus sahaja tumbang dan footage itu dapat dirakam oleh Eric melalui telefon bimbitnya.
Harry juga telah memuat naik beberapa keping gambar Ayie yang sedang terbaring keletihan di atas sofa dekat studio tersebut. Pihak syarikat rakaman, Rusa Music turut berterima kasih kepada Harry kerana telah menjaga Ayie serta sentiasa menyokong karier kumpulan berkenaan.


Disebabkan kejadian itu, Ayie dikatakan perlu menyusun semula semua jadual kerja dan belajarnya supanya menjadi lebih seimbang untuk memastikan kejadian seperti itu tidak akan berulang untuk kali kedua.
Bahaya juga kalau kerja keras tanpa berehat ni… Otak dan badan kita juga memerlukan rehat yang secukupnya supaya semua pekerjaan dapat dilakukan dengan sebaiknya. Semoga semuanya baik-baik sahaja dan diharapkan proses rakaman dapat diteruskan tanpa sebarang halangan. – MYNEWSHUB.CC/AH
