YAN – Seorang wanita warga emas yang lumpuh maut akibat sesak nafas selepas rumahnya terbakar dalam kejadian kira-kira 11.40 pagi ini di Kampung Singkir Laut di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, Penolong Penguasa Bomba Fauzi Shuaib berkata, semasa kejadian Fauziah Abdullah, 69, berada sendirian di rumah selepas suaminya keluar ke kedai berhampiran.
“Wanita itu telah diselamatkan penduduk kampung yang terlihat asap keluar dari dalam rumahnya, namun disahkan meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan ke Hospital Yan akibat sesak nafas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya pihak bomba menerima panggilan pada kira-kira 11.40 pagi dan ketika jentera pertama tiba di lokasi kira-kira 12 minit kemudian, rumah itu sudah musnah 90 peratus.
Menurutnya, operasi pengawalan dan memadamkan kebakaran melibatkan 13 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Yan dan Guar Chempedak, serta turut dibantu 19 anggota Pasukan Bomba Sukarela Tanjung Dawai, Bedong dan Guar Chempedak. – BERNAMA