MACHANG – Kementerian Belia dan Sukan menyediakan peruntukan RM2 juta bagi program kesukarelawan Institusi Latihan Kementerian Belia dan Sukan (ILKBS) – Touch Point di bawah Cabinet Away Day (CAD 2017) untuk dilaksanakan oleh 22 Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).
Pengarah Cawangan Pembangunan Kurikulum kementerian itu, Zakiah Mat Jali berkata peruntukan tersebut bertujuan memasyarakatkan IKBN dengan melaksanakan projek-projek untuk manfaat rakyat.
“Program kesukarelawan ILKBS Touch Point- CAD 2017 telah dilaksanakan sejak pertengahan Oktober lalu dan berakhir pada penghujung tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program tersebut bagi Peringkat Zon Timur di Kampung Maka di sini, hari ini.
Beliau berkata seramai 200 pelajar daripada setiap 22 IKBN tersebut terlibat menjayakan program kesukarelawan tersebut.
Katanya, program berkenaan memberi tumpuan kepada dua bidang pengajian kemahiran yang dipelajari pelajar IKBN iaitu Teknologi Awam dan Elektrik yang membolehkan pelajar tersebut menggunakan ilmu kemahiran yang mereka miliki untuk melaksanakan projek khidmat sosial kepada masyarakat.
“Antara projek yang dilaksanakan ialah membina balai raya, baik pulih surau, membina gelanggang sepak takraw dan lain-lain lagi,” katanya.
Beliau berkata program sukarelawan itu adalah program yang berkesinambungan dengan Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda yang diperkenalkan pada tahun 2001. – BERNAMA