BEKAS tentera wanita Crotia yang digelar “Ratu Maut” dijatuhkan hukuman penjara 14 tahun selepas didapati bersalah oleh mahkamah Bosnia terhadap tuduhan jenayah perang, termasuk membunuh dan menyeksa ketika konflik Bosnia pada 1990-an.
Azra Basic, 58, diekstradisi ke Bosnia yang melarikan diri ke Amerika Syarikat pada 2016 selepas perang 1992-1995 itu.
Dia ditahan pada 2011 berikutan waran tangkap Bosnia dan perbicaraannya bermula Januari lalu.
Azra didapati bersalah bagi tuduhan jenayah terhadap etnik orang awam Serbia yang ditahan tentera Crotia pada April 1992 di Derventa.
Ketika menjatuhkan hukuman, Hakim Sead Djikic menegaskan tertuduh amat kejam ketika melakukan jenayahnhya.
Saksi menggelar Azra sebagai ‘Ratu Maut’ ketika perang yang meragut kira-kira 100,000 nyawa itu dan dia didapati bersalah membunuh seorang tahanan, Blagoje Djuras.
Menurut hakim, ketika mangsa terduduk selepas dibelasah dan dipegang dua lagi tahanan, Azra datang dengan memegang pisau lalu menikam lehernya.
Dia juga menyeksa puluhan tahanan dengan menendang, menumbuk atau membelasah mereka dengan kayu pemukul besbol. Dia juga melukakan menggunakan pisau di dahi atau belakang tahanan.
Azra antara puluhan wanita yang dibicara atau disabitkan dengan jenayah ketika perang Bosnia.
Bekas timbalan presiden Bosnia -Serbia, Biljana Plavsic, 87, kekal sebagai penjenayah perang wanita paling terkenal dan dihukum penjara 11 tahun pada 2003 oleh Mahkamah Jenayah Perang Antarabangsa di The Hague. – AFP/myMetro Online