JASIN – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan menyiasat dakwaan Pertubuhan Peladang Kelantan bahawa Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) mengenakan potongan 50 peratus hasil padi.
Timbalan Menterinya Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata berdasarkan prosedur yang ditetapkan pemotongan hasil padi berkenaan bergantung pada kualiti padi yang dikeluarkan petani dan secara dasar potongan berkenaan tidak boleh melebihi 20 peratus sekiranya beras yang dihasilkan berkualiti.
“Kita akan kaji mengapa perkara ini berlaku dan saya sejak dahulu telah tegaskan tidak akan membiarkan penindasan terhadap golongan petani oleh pihak yang ingin mengambil kesempatan sama ada Bernas atau pihak pengilang sendiri.
“Kita akan lihat masalah tersebut berpunca daripada pihak mana, sama ada petani sendiri, pengilang swasta atau Bernas. Sekiranya terdapat penyelewengan kita tidak akan berkompromi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jalinan Peladang peringkat negeri Melaka 2017 di sini, hari ini.
Beliau mengulas dakwaan Pertubuhan Peladang Kelantan sebagaimana dilaporkan media elektronik semalam.
Turut hadir anggota Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri Melaka Datuk Hasan Abdul Rahman dan Anggota Dewan Undangan Negeri Merlimau Datuk Roslan Ahmad.
Mengulas lanjut, Tajuddin berkata pihaknya akan memanggil petani terlibat dan pihak Bernas dalam masa terdekat untuk mendapatkan maklumat sebenar berhubung dakwaan berkenaan, namun pihaknya percaya dakwaan tersebut tidak mewakili golongan petani Kelantan secara keseluruhan.
Beliau berkata golongan petani juga perlu sentiasa mengutamakan amalan pertanian yang baik bagi memastikan hasil padi yang ditanam berkualiti.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kementerian tersebut sedang mengatur pelbagai program bagi menggalakkan penglibatan rakyat dalam aktiviti penternakan lembu dan kambing untuk menampung permintaan daging dan susu dalam negara.
Katanya berdasarkan rekod semasa, negara hanya mampu mengeluarkan lebih kurang 20 peratus daging dan susu haiwan daripada jumlah permintaan dalam negara setahun. – BERNAMA
