BEBERAPA minggu lalu, nama Lan disebut-sebut kerana krisis yang dialaminya bersama kumpulan rock Kristal.
Baru sahaja reda kes berkenaan, kini namanya kembali hangat diperkatakan apabila berita kemasukannya ke hospital tersebar.
Khabarnya, Lan dimasukkan ke hospital akibat penyakit buasir yang kembali menyerangnya sejak Isnin minggu lalu.
Doktor turut menyarankannya untuk menjalani pembedahan, namun, Lan atau menolaknya demi meneruskan perjuangannya dalam program Gegar Vaganza 4 (GV4).
“Sebenarnya saya sudah diserang penyakit buasir ini sejak Isnin lalu namun cuma makan ubat yang diberi oleh doktor di klinik.
“Namun pada Rabu lalu saya dah tak boleh tahan, apabila ke hospital dimaklumkan penyakit buasir saya itu memang sudah teruk.
“Doktor mahu saya dibedah tetapi saya tidak mahu kerana proses pemulihan memakan masa 10 hari,” katanya dipetik mStar Online.
Akui Lan, persembahannya pada konsert suku akhir Ahad lalu turut terjejas dek kerana penyakit tersebut.
Menurut portal Astro Gempak, Lan berada di kedudukan kedua terbawah sekaligus menyelamatkannya daripada tersingkir dan melayakkan diri ke peringkat separuh akhir pada minggu ini.
“Seksa menanggung kesakitan hanya tuhan yang tahu sehinggakan hendak buat latihan pun tak larat.
“Memang saya tawakal sahaja dan hanya sempat menjalani latihan pada Sabtu lalu walaupun dalam pergerakan terbatas.
“Bagaimanapun Alhamdulillah dalam kesakitan saya berjaya juga naik ke pentas dan melunaskan tanggungjawab saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, anaknya turut membuat kejutan dengan memberikan ‘surat cinta’ dan mendoakan ayahnya itu kembali sihat seperti sedia kala.
“Kakak doakan Daddy supaya cepat sembuh. Amin. I love you,” tulisnya di surat itu.
Sementara itu, rakan seperjuangan dalam GV iaitu Syura turut memuat naik gambarnya sewaktu melawat Lan yang ketika itu sedang terlantar di hospital.
Laman Instagram penyanyi berusia 32 tahun itu turut dihujani dengan kata-kata semangat dan doa supaya Lan kembali sembuh dan mampu beraksi di pentas GV.
Diharapkan kesemua peserta GV dalam keadaan yang baik dan memberikan persembahan terbaik buat peminat yang sering menyokong mereka. – MYNEWSHUB.CC/SA