KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menemui pengacara TV Azwan Ali pada Rabu (20 Disember) atas tuduhan rasuah yang didakwa melibatkan abangnya, Datuk Seri Azmin Ali.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata demikian selepas bertemu Azwan, yang merupakan adik kepada Menteri Besar Selangor tersebut, di Parlimen pada Isnin (semalam).

“Saya memberitahunya bahawa jalan terbaik untuk dia mengemukakan aduan adalah dengan SPRM. Walaupun saya bertanggungjawab terhadap hal-ehwal SPRM, saya tidak akan mengambil sebarang tindakan,” katanya.
Razali berkata semasa pertemuan selama dua jam itu, Azwan juga cuba mengemukakan kepadanya dokumen yang berkaitan dengan dakwaan rasuah tetapi dia menolak untuk menyiasat dengan lebih lanjut, mengatakan bahawa ia boleh melemahkan sebarang siasatan yang dilakukan pada masa depan.
“Kita tidak seharusnya membuat sebarang spekulasi dan membiarkan SPRM melakukan tugasnya. Bukan atas kita untuk tentukan sama ada keterangan yang dibentangkan adalah benar atau tidak,” katanya lagi.
Razali berkata selepas pertemuan singkat dengan Azwan itu, beliau memaklumkan SPRM mengenai perkara itu dan bersetuju untuk berjumpa dengan Azwan.
“Saya telah menghubungi SPRM dan mereka bersedia menerima apa-apa maklumat yang berkaitan dengan kes itu, jadi mereka telah menetapkan hari Rabu ini untuk mengadakan mesyuarat itu,” katanya.
Sebelum ini, Azwan pernah berikrar untuk membantu Barisan Nasional “menjahanamkan” Azmin dalam usaha untuk mengambil alih Selangor pada pilihan raya umum ke-14.
Kata Azwan lagi, dia mempunyai “satu juta idea untuk memusnahkan” Azmin di Selangor dan bersumpah untuk mendedahkan rahsia abangnya itu “satu demi satu”. – MYNEWSHUB.CC

