KUALA LUMPUR – Masyarakat Islam di negara ini perlu bersatu padu menentang sebarang tindakan pencerobohan terhadap Baitulmuqaddis, kata Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Beliau berkata sokongan seumpama itu sebagai tanda bahawa rakyat negara ini tidak berdiam diri atas tindakan yang merupakan suatu penindasan terhadap umat Islam di sana.
“Saya bersyukur kita (rakyat Malaysia) bersatu untuk menegakkan kebenaran. Kita perlu pastikan Baitulmuqaddis tidak diceroboh dalam pelbagai cara,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada kumpulan sasar YKN di Rumah Kebajikan House of Joy di sini hari ini.
Shahrizat berkata demikian ketika diminta mengulas Himpunan Putih Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis yang diadakan di Masjid Putra, Putrajaya, hari ini bagi memberi sokongan terhadap isu Baitulmuqaddis.
Seramai 130 penghuni rumah kebajikan tersebut terdiri daripada 50 kanak-kanak dan remaja, orang kurang upaya (OKU) dan 60 warga emas menerima sumbangan sempena Hari Krismas.
Pihak YKN menyampaikan sumbangan wang tunai kepada rumah kebajikan itu, warga emas dan OKU serta pakaian sekolah dan barang penjagaan diri kepada kanak-kanak. – BERNAMA
https://www.facebook.com/mynewshub/videos/1785741405068383/

