KESETIAAN kepada Raja dan Negara… Ayat prinsip kedua Rukun Negara itu memang dihafal rakyat Malaysia waima murid sekolah rendah pun tahu bukan setakat ketika Bulan Kemerdekaan.
Namun tindakan biadab tokoh veteran pembangkang, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isterinya Tun Siti Hasmah Mohd Ali memulangkan semula pingat kebesaran Sultan Selangor jelas tidak menghormati institusi beraja.
Kesal sikap kurang ajar Pengerusi Pakatan Harapan yang belum sah didaftarkan lagi itu melakukan sembah derhaka berbanding merafak memohon maaf kepada baginda, Datuk Seri Jamal Md. Yunos tampil dengan gimik unik.
Kali ini Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia itu mahu dua individu berprofil tinggi tersebut kembali ke alam persekolahan dengan mempelajari semula Rukun Negara yang diwujudkan ekoran tragedi berdarah 13 Mei 1969.
“Mereka tiada adab, Mahathir yang kita lihat kini apabila menerima teguran daripada Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah, beliau cuba memperlekeh ataupun buat protes dengan memulangkan pingat kebesaran.
“Jadi bagi kami mereka ini tidak mematuhi peradaban ketika mana daripada kecil lagi diajar tentang Rukun Negara, justeru mereka ini perlu kembali duduk di sekolah darjah 1, duduk sekolah balik,” tegas Jamal dengan nada kesal.

Baca: Pulang Pingat Kerana Setia Pada Suami – Siti Hasmah
Beliau turut membawa buku latihan sekolah rendah yang tertera Rukun Negara di halaman belakangnya ketika muncul pada sidang media selepas buat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di ibu negara pada Rabu.
Laporan dibuat terhadap Mahathir yang tergamak celupar hina Sultan Selangor hanya kerana baginda menegurnya kutuk etnik Bugis sebagai keturunan lanun ketika himpunan haram hambar pembangkang pada 14 Oktober lalu.
Dalam pada, Jamal turut membuat saranan sama kepada ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim yang mempertikaikan titah teguran Sultan Selangor sehingga baginda murka dan mengarahkan tokoh politik itu agar kembali ke Kelantan.
“Begitu juga Zaid, sila balik darjah satu belajar erti Rukun Negara patuh dan taat kepada rukun negara barulah sepatutnya menjadi seorang pemimpin,” sindir beliau yang kecewa dengan sikap kurang ajar bekas ahli PKR itu.
Dalam pada itu, Jamal berharap agar ketiga-tiga mereka segera dikenakan tindakan undang-undang rentetan tindakan biadab mereka tersebut yang meresahkan ketenteraman masyarakat Malaysia. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

