SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan melalui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membelanjakan hampir RM10 juta bagi menyelenggara dan membaik pulih lima bangunan kediaman berstrata di negeri ini sejak 2015 sehingga kini.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kelima-lima bangunan kediaman berstrata yang menerima bantuan itu ialah Rumah Pangsa Taman Semarak, Rumah Pangsa Desa Palma, Rumah Pangsa Taman Cenggal, Rumah Pangsa Taman Casurina dan Rumah Pangsa Seroja/Kasturi.
“Di Malaysia, rumah-rumah swasta kos sederhana dan murah ini langsung tidak ada penyelenggaraan, sudah jadi satu masalah sosial di kawasan ini dan keadaan amat teruk. Pada zaman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau ambil langkah untuk membantu.
“Padahal ini bukan tanggungjawab kerajaan, rumah sendiri. Mulai 2013 dimulakan Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) untuk membantu Badan Pengurusan Bersama (JMB) dengan permulaan dikongsi 50-50 peratus, kemudian kerajaan 90 peratus dan 10 peratus lagi JMB pun tidak boleh, sekarang nampaknya kerajaan bermurah hati tanggung 100 peratus untuk menyelenggara dan membaikinya,” kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja dan penyerahan surat tawaran projek TP1M kepada dua kontraktor di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad berharap penduduk di kelima-lima kediaman terbabit menghargai dan menjaga harta benda bersama.
“Memang (projek) ini nampak kecil, tapi seluruh negara berapa banyak yang telah diberikan bantuan TP1M. Untuk Negeri Sembilan, lima flat ini sahaja dah RM10 juta…inilah hasrat dan hati murni yang ada pada perdana menteri untuk membantu rakyat,” katanya.
Mohamad berkata selain lima bangunan kediaman berstrata yang menikmati TP1M itu, kediaman lain juga akan diberikan bantuan selepas ini, namun dibuat secara berperingkat. – BERNAMA