ALMATY, Kazakhstan – Kedudukan Perlis di tengah kawasan Segitiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT) menjadikankannya amat strategik sebagai pemangkin ekonomi, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Titah baginda, langkah mewujudkan Pelabuhan Darat Perlis (PIP) di Padang Besar akan dapat menyemarakkan kegiatan perdagangan rentas sempadan antara Malaysia dan Thailand.
PIP bakal meningkatkan keupayaan pengendalian kontena kira-kira 16 kali ganda, titah baginda di lapangan terbang antarabangsa Almaty di sini malam tadi sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur selepas mengetuai program Jelajah Ilmu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) 2017.
Pada masa ini terminal kargo di Padang Besar berupaya mengendalikan kira-kira 120,000 bersamaan 20 kaki (TEU) kontena.
Laporan sebelum ini menyebut PIP bakal mengubah landskap ekonomi Perlis menjelang 2030.
Pelaksanaan PIP di kawasan seluas lebih 200 hektar antara lain akan merangkupi pelabuhan darat seluas 56 hektar dan 146 hektar adalah bagi kawasan industri.
Sementara itu Tuanku Syed Faizuddin yang juga Canselor UniMAP tiba di Almaty pada Isnin malam dari Baku, Azerbaijan dan baginda berkenan melawat Al-Farabi Kazakh National University yang tersohor di Kazakhstan semasa di sana.
Sempena lawatan itu, UniMAP dan universiti berkenaan telah menjalin kerjasama akademik dengan menandatangani memorandum persefahaman.
Turut berada di lapangan terbang itu bagi mengucapkan selamat jalan kepada baginda ialah wakil Kedutaan Malaysia di pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Almaty iaitu Setiausaha Pertama Haikal Hanib dan Setiausaha Kedua Adris A. Bakar. – BERNAMA