KUALA LUMPUR – Bilangan kes penyakit kusta mencatatkan penurunan bagi tempoh 2013 hingga September 2017 iaitu daripada 306 kes kepada 168 kes, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata jumlah itu menunjukkan penyakit kusta berada dalam keadaan terkawal di negara ini.
“Berdasarkan statistik kementerian, bilangan kes terus menunjukkan penurunan pada tahun berikutnya iaitu sebanyak 308 kes (2014), 210 kes (2015) dan 206 kes (2016).
“Jumlah kes baharu penyakit kusta dalam kalangan warganegara Malaysia juga menunjukkan penurunan bagi tempoh 2013 hingga 2016 iaitu daripada 207 kes kepada 123 kes,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad (PAS-Pasir Puteh) berhubung laporan media sosial tentang penyakit kusta telah menular kembali ke negara ini kesan daripada penghijrahan warga asing dari India, Bangladesh, dan lain-lain yang tidak terkawal sejak 2013 hingga sekarang serta laporan terperinci jumlah kes penyakit itu.
Sementara itu, Dr Hilmi berkata jumlah kes baharu penyakit kusta dalam kalangan warga asing juga mencatatkan penurunan sejak 2013 iaitu sebanyak 89 kes kepada 83 kes pada 2016.
Peratusan kes baharu penyakit kusta pada 2016 pula menunjukkan warganegara Indonesia mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 68 peratus diikuti Nepal dan Filipina (14 peratus) serta Myanmar (empat peratus) dan tiada kes dicatatkan bagi warganegara India serta Bangladesh. – BERNAMA