KULIM – Seorang lelaki maut apabila treler dipandunya terbabas sebelum melanggar tebing bukit di persimpangan lampu isyarat Jalan Hi-Tech ke Kilang Lama, berhampiran Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 10.15 malam itu, mangsa Ong Kah Ban, 67, dari Taiping, Perak meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di tempat duduk pemandu.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar, berkata siasatan awal mendapati mangsa dari arah Kulim Hi-Tech menghala Kelang Lama.
Katanya, apabila tiba di tempat kejadian treler yang penuh dengan muatan kayu itu tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelah kiri sebelum merempuh tebing bukit.
“Akibat rempuhan itu mangsa tersepit di bahagian pemandu dan orang ramai yang melihat kejadian itu kemudian menghubungi pihak polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk bantuan mengeluarkan mangsa.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Bilik Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat sebelum di tuntut ahli keluarga,” katanya.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Hassan, 35, berkata ketika kejadian dia berada di sebuah kedai makan berhampiran lampu isyarat terbabit, sebelum dikejutkan dentuman kuat dari arah PTSB.
“Saya bersama beberapa pelanggan kemudian bergegas ke arah bunyi dentuman itu dan terkejut apabila melihat sebuah treler terbabas ke bahu jalan dengan bahagian hadapan pemandu terperosok ke dalam tanah.
“Mujurlah ketika kejadian tiada kenderaan lain di hadapan treler terbabit,” katanya. – BH ONLINE

