KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengakui bencana banjir besar di Pulau Pinang sejak semalam mula dapat dikawal dengan bantuan Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN).
Beliau yang juga pimpinan tertinggi Pakatan Harapan berkata, bantuan segera oleh Kerajaan Persekutuan BN itu telah membolehkan kerajaan Pulau Pinang mengelak daripada mengisytiharkan darurat bencana di negeri itu.
Guan Eng turut mengakui beliau menghubungi sendiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi meminta bantuan dan Ahmad Zahid sanggup mengangkat panggilannya pada pukul 3.30 pagi dan segera mengerahkan bantuan.
“Tidak perlu untuk kerajaan Pulau Pinang mengisytiharkan keadaan darurat bencana kerana keadaan buat masa ini adalah terkawal selepas wujudnya bantuan daripada kerajaan Persekutuan. Darurat akan disytiharkan oleh kerajaan negeri sekiranya dianggap perlu selepas perundingan dan nasihat daripada kerajaan Persekutuan.
“Saya menghargai kesediaan Datuk Seri Ahmad Zahid kerana sudi menerima panggilan telefon saya sungguhpun pada waktu 3.30 pagi dan bertindak segera. Beliau juga telah memanggil saya sekali lagi pada pagi ini untuk memberikan jaminan akan membantu Pulau Pinang dan apa yang diperlukan untuk keadaan pulih. Kami amat terima kasih kepada seorang pemimpin yang tidak kenal bulu politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP semalam membuat kenyataan terbuka kepada pihak media merayu kepada Kerajaan Persekutuan BN supaya memberi bantuan kepada kerajaan Pulau Pinang untuk menangani bencana banjir besar di negeri itu.
Ironinya, Guan Eng pada 27 Januari 2015 pernah menuduh kononnya banjir yang berlaku di Kuala Lumpur adalah disebabkan rasuah dalam kerajaan BN dan beliau turut membuat tuduhan sama ke atas kerajaan PAS Kelantan.
Sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada tahun 2013, Guan Eng malah pernah memberi jaminan kepada rakyat jika DAP dan pakatan pembangkang diberi kuasa sekali lagi, mereka akan menyelesaikan masalah banjir hanya dalam tempoh beberapa tahun. – MYNEWSHUB.CC