• About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact
Monday, March 30, 2026
  • Login
MYNEWSHUB
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral
No Result
View All Result
MYNEWSHUB
No Result
View All Result

Charles, Camilla Lawat 4 Tempat Ibadat Di P.Pinang

oleh AK-47
07/11/2017
dalam Utama & Sensasi
0
Share on FacebookShare on Twitter

GEORGE TOWN – Putera Charles, Prince of Wales dan isteri, Camilla, Duchess of Cornwall, memulakan lawatan sulung ke Pulau Pinang dengan melawat tempat-tempat ibadat di George Town, kawasan tapak Warisan Dunia UNESCO.

Pasangan diraja itu dalam rangka lawatan sehari ke negeri ini, yang pada asalnya dikenali sebagai “Prince of Wales Island”, dengan persinggahan pertama di gereja St George, gereja England tertua di Asia Tenggara yang dibina pada 1818.

Sebaik tiba di gereja itu pada kira-kira 10.05 pagi, rombongan diraja itu disambut paderi Charles Samuel sebelum pasangan diraja itu meluangkan masa 20 minit melihat alat muzik organ baharu gereja di situ yang telah diisytiharkan sebagai warisan negara pada 2007.

Putera Charles dan Camilla juga dipersembahkan dengan lukisan minyak bersempena sambutan ulang tahun ke-200 gereja itu sebelum pasangan diraja itu meneruskan program mereka dengan berkunjung ke Masjid Kapitan Keling yang terletak kira-kira 1 kilometer dari situ.

Masjid yang dibina oleh masyarakat pedagang India Muslim pertama Pulau Pinang pada 1801 dan terletak di persimpangan Lebuh Buckingham dan Lebuh Pitt, merupakan satu daripada masjid terbesar di bahagian pulau yang dibina mengikut ciri binaan Indo-Moor.

Sebelum itu, beratus-ratus orang dari pelbagai lapisan masyarakat memegang bendera Malaysia dan United Kingdom, berkumpul di sepanjang jalan di bawah kawalan ketat untuk mendapatkan sekilas pandang pasangan diraja itu dan ada yang bernasib baik dapat bersalaman.

Di masjid itu, pasangan diraja itu disambut kumpulan kompang, alat muzik tradisional Melayu, sebelum mereka disambut pengerusi masjid, Datuk Meera Mydin Mastan yang kemudian mengiringi pasagan diraja itu menyertai acara penanaman pokok bagi memperingati kunjungan mereka di sini.

Selepas meluangkan masa kira-kira 15 minit di masjid itu, Putera Charles dan Camilla kemudian menandatangani buku tetamu sebelum berjalan kaki ke Tokong Pusaka Han Jiang yang terletak kira-kira 100 meter dari situ.

Tokong itu yang sebelum ini dikenali sebagai Teochew Kongsi terletak di Lebuh Chulia telah dibina pada 1890 oleh pendatang Teochew dari wilayah Ghaozhou, di bahagian timur laut Guangdong di China.

Kedua-dua pasangan diraja itu meluangkan masa kira-kira 15 minit menyaksikan persembahan tarian singa, tarian kebudayaan tradisional masyarakat Cina di kuil itu sebelum melawat Kuil Sri Mahamariamman di Lebuh Queen.

Pasangan diraja itu dengan diiringi menteri pengiring, Datuk Seri S. K. Devamany, yang juga timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, melawat kuil itu.

Kuil itu adalah kuil tertua di George Town yang dibina pada 1833 dan diubah suai pada 1933.

Pasangan diraja itu kemudian berkunjung ke Seven Terraces, barisan teras rumah-rumah teres Inggeris-Cina yang terletak di bahagian belakang tokong Goddess of Mercy di Jalan Masjid Kapitan Keling di sini.

Lawatan Putera Charles dan Camilla ke Malaysia adalah sebahagian daripada lawatan 11 hari pasangan diraja itu ke Singapura, Malaysia dan India dari 30 Okt sehingga 9 Nov. – BERNAMA

Tags: Camillaputera charlesUNESCO
Share196Tweet123SendShare

Related Posts

Melaka Mohon Semula Bangunkan Kawasan Tambakan Laut Bawah UNESCO

Melaka Mohon Semula Bangunkan Kawasan Tambakan Laut Bawah UNESCO

09/07/2024
0

Kerajaan Melaka akan membuat permohonan semula kepada Jabatan Warisan Negara bagi membangunkan kawasan tambak laut yang digazetkan sebagai Tapak Warisan...

Isu Kampung Baru Cina Warisan UNESCO Perlu Dibincang Di Kabinet, Parlimen

Isu Kampung Baru Cina Warisan UNESCO Perlu Dibincang Di Kabinet, Parlimen

10/02/2024
0

KUALA LUMPUR: Cadangan menjadikan kampung baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa...

MYNEWSHUB

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd

Navigate Site

  • About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact

Follow Us

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd