JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibahim mengumumkan setiap pemain skuad kebangsaan akan menerima bonus sebanyak RM30,000 jika mereka menang perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia 2019 di Hong Kong esok.
Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, perlawanan itu sangat penting kerana ia peluang untuk menjawab kritikan-kritikan orang ramai yang mempertikaikan kemampuan pemain-pemain kebangsaan.
“Main sebagai satu pasukan dengan matlamat untuk mencipta kemenangan. (Bagaimanpun) menang kalah perkara kedua. Apa yang penting jika rakyat dan saya melihat pemain beri 110 peratus, kalah atau menang kami puas hati.
“Menang bonus RM30,000. Syafiq Rahim dapat RM20,000 sahaja sebab dia hutang saya RM10,000,” katanya semasa meluangkan masa menyampaikan amanat kepada para pemain skuad kebangsaan di Hong Kong melalui sidang video dari Johor Bahru hari ini.
Tunku Ismail dalam pada itu meminta setiap pemain kebangsaan yang berada di Hong Kong supaya tidak melayan media sosial.
Katanya, beliau tidak mahu kenyataan-kenyataan negatif yang dilemparkan orang ramai ke atas pemain skuad kebangsaan di media sosial menjejaskan tumpuan mereka ke atas perlawanan itu.
“Ini perlawanan yang sangat mustahak bukan saja untuk rangking dan reputasi pasukan kebangsaan. Kebanyakan orang dalam negara ini yang tiada kena mengena dalam dunia bola sepak hanya tahu membuat kenyataan negatif.
“Saya tak nak ada mana-mana pemain melayan media sosial yang boleh menjatuhkan moral atau memeningkan kepala masing-masing.
“Jangan beri apa-apa tumpuan kepada kritikan orang yang tiada kena mengena dalam industri bola sepak, orang yang tiada kena mengena dengan industri bola sepak moden dan orang yang tiada kena mengena dengan bola sepak,” katanya. – MYNEWSHUB.CC