BANYAK pula desas desus yang timbul apabila mendapati penyanyi Nombor 1 negara, Datuk Siti Nurhaliza seakan-akan ‘hilang’ dari dunia hiburan juga di alam maya.
Ada pula pihak dakwa konon ‘kehilangannya’ itu umpama merahsiakan diri yang sedang sarat hamil daripada pengetahuan umum.
Tapi bagaimana pula kata-kata sumbang yang menyatakan Siti sudah tidak relevan dalam dunia muzik masa kini?
Menjawab pelbagai spekulasi dan dakwaan itu, pengurusnya Rozi Abdul Razak ada memuat naik satu gambar dengan caption yang menjawab segala dakwaan dilemparkan kepada penyanyi kesayangan ramai itu.
“Saya menangkis tentang kata-kata orang, populariti jatuh, tak dapat sambutan, tidak relevan dan sebagainya,” tulisnya menerusi laman Instagram.
Tambahnya, itu tidak adil untuk pelantun suara bagi lagu Segala Perasaan didakwa sedemikian kerana katanya sepanjang 21 tahun penglibatan Siti dalam dunia muzik tanah air, dia telah memberikan yang terbaik.
Rozi juga menyatakan apalah sangat dengan pembabitan Siti dalam industri jika nak dibandingkan dengan masa yang diambilnya untuk memberikan ‘me time‘ kepada diri sendiri.
“21 tahun berbakti dan mengabdikan tanpa meninggalkan lebih dari satu bulan kerjayanya, beberapa bulan ini dia memilih untuk berehat.
“21 tahun bernisbah hanya beberapa bulan.
“Janganlah menghakimi beliau kerana beliau berhak untuk memilih ‘masa’ untuk dirinya,” tambahnya lagi.

Mungkin peminat-peminat Siti merinduinya kerana jika perasan Siti bukan sahaja tidak muncul di kaca-kaca televisyen, tetapi tidak juga di laman Instagram.
Dia hanya memuat naik dan repost gambar-gambar dari produk yang dikeluarkannya seperti koleksi Creation by Siti Nurhaliza serta barang kosmetik Simply Siti sahaja.
Walau bagaimanapun, Rozi ada menyatakan berita baik buat peminat Siti. Katanya, Siti tahu mereka merinduinya dan dia juga merindui peminat-peminatnya.
Harap-harapnya kenyataan yang diberikan Rozi ini mampu menjelaskan serta menutup suara-suara sumbang yang menyebarkan cerita-cerita tidak enak penyanyi popular ini. – Mynewshub.cc/Ecah